Sektor hartanah dijangka kembali menyinar

Kini, pemaju hartanah boleh melihat lebih jelas arah tuju sektor hartanah dari segi perancangan dan pembangunan projek baharu dan dari segi menetapkan harga projek-projek mereka.
Kini, pemaju hartanah boleh melihat lebih jelas arah tuju sektor hartanah dari segi perancangan dan pembangunan projek baharu dan dari segi menetapkan harga projek-projek mereka.
A
A
A

HARTANAH dijangka menjadi salah satu sektor ekonomi yang akan kembali bersinar pasca pandemik dan di atas ramalan itu, kaunter-kaunter segmen berkenaan di Bursa Malaysia mula menjadi tumpuan pelabur.

Sektor ini sudah mula kembali menjadi topik perbincangan penganalisis firma broker saham dan syarikat penyelidikan tempatan dan kebanyakan mereka memberikan isyarat positif terhadap kaunter-kaunter berkenaan.

Ini sesuatu yang mengujakan syarikat pemaju kerana sektor hartanah, sama seperti kebanyakan sektor lain, turut mengalami tekanan ketika pandemik covid-19 melanda.

Malah Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia, Lim Boon Ping, pernah menganggarkan jumlah transaksi dan nilai hartanah merosot, mungkin sehingga 20 peratus.

Ini sudah tentu memberikan kesan kepada pendapatan syarikat-syarikat hartanah.

Ini berlaku kerana pihak pemaju tidak ada pilihan melainkan menjual unit-unit yang mereka bina pada harga paling kompetitif untuk melindungi diri daripada kesan pandemik yang belum diketahui bila berakhir dan vaksin pula ketika itu baru mula disuntik.

Namun, sesetengah pemaju sudah mula menawarkan produk inovatif, terutamanya untuk memenuhi pasaran golongan 25-45 tahun atau unit di bawah harga RM400,000.

Antaranya, seorang pegawai pemasaran sebuah syarikat pemaju memberitahu Sinar Harian, minggu lalu, pemaju kini menyemak semula tawaran produk mereka agar tidak menyisih kelompok pasaran yang penting itu.

Artikel Berkaitan:

“Golongan muda ini mahu hidup bergaya tetapi mahukannya pada harga yang mampu milik,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tindak balas sesetengah pemaju ialah dengan memberi tawaran yang inovatif. Kalau sebelum ini konsep “townhouse” ditawarkan agar rumah teres lebih mampu dimiliki, kini dikembangkan kepada konsep dwi-rumah, iaitu pemilikan berasingan untuk aras bawah dan atas.

Bezanya dengan townhouse ialah ia menawarkan “built-up” atau keluasan yang lebih besar.

Selain itu, bersesuaian dengan tuntutan gaya hidup sihat oleh golongan muda, ada pemaju memperknalkan taman bersama di belakang teres dwi-rumah ini yang ada yang ditawarkan di bawah RM400,000 seunit.

Pangsapuri juga lebih direka bentuk untuk golongan muda yang baru membina keluarga ini dengan tawaran bawah RM400,000 untuk keluasan 1,000 kaki persegi.

Kini pemaju hartanah boleh melihat lebih jelas arah tuju sektor hartanah dari segi perancangan dan pembangunan projek baharu dan dari segi menetapkan harga projek-projek mereka.

Secara tidak langsung, pandemik yang melanda telah membuat penyelarasan (resetting) ke atas harga hartanah, masalah harga melampau sudah tidak berlaku lagi dan harga selepas ini akan berpadanan dengan tahap pendapatan rakyat negara ini.

Secara tidak langsung juga ini akan memberikan satu imej bersih terhadap sektor hartanah yang satu ketika dulu selalu diperdebatkan atas tanggapan mempunyai mekanisme harga yang susah difahami.

Antara faktor yang menyuntik rasa positif terhadap sektor ini di Bursa Malaysia kini termasuk kadar faedah yang kini berada di tahap paling rendah, kecairan pasaran dan langkah-langkah sokongan yang diberikan oleh kerajaan.

Selain itu, menurut satu laporan dalam portal knowledgebuymoney.com minat terhadap kaunter hartanah juga dibantu oleh lonjakan jualan yang dicatat oleh sektor hartanah pada suku keempat 2020 dan sasaran jualan kukuh yang dibuat oleh pemaju-pemaju hartanah untuk tempoh mendatang.

Antara syarikat-syarikat yang dilihat mengetuai kebangkitan sektor ini, menurut pandangan penganalisis saham, termasuk S P Setia Bhd yang mempunyai simpanan tanah di seluruh negara dan dipimpin oleh pengurusan kanan yang mantap.

Mah Sing Group Bhd juga antara syarikat hartanah yang menjadi perhatian, disokong pula oleh keputusannya turut menceburi bidang penjagaan kesihatan.

Selain itu, penyiapan projek gergasi Battersea Power Station Fasa 2 dan 3A dilihat akan menguntungkan syarikat seperti S P Setia dan Sime Darby Property.

Syarikat-syarikat hartanah lain yang dijangka mencuri tumpuan termasuk UEM Sunrise Bhd, Eco World International Bhd, Eco World Development Group Bhd, UOA Development Bhd dan Malaysian Resources Corp Bhd.