Ordinan Darurat bukan sekat kebebasan media, bersuara

Datuk Saifuddin Abdullah
Datuk Saifuddin Abdullah
A
A
A

KUANTAN - Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang diwartakan bukan untuk menyekat kebebasan media dan bersuara mana-mana individu seperti yang di dakwa beberapa pihak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, penguatkuasaan ordinan itu sebagai satu usaha memerangi berita palsu berkaitan isu Covid-19 dan perintah darurat yang telah berkuatkuasa.

"Dakwaan ini sama sekali tidak benar. Ordinan itu merujuk kepada berita palsu membabitkan dua isu iaitu Covid-19 dan darurat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas berakhirnya Majlis Majlis Pelancaran E-Tuisyen Parlimen Indera Mahkota dan Penyerahan Tablet Sumbangan Kepada Pelajar Sekolah di Dewan Atabara, di Indera Mahkota pada Sabtu.

Pada Jumaat, penguatkuasaan ordinan dilaksanakan dan kerajaan menerima banyak kritikan berhubung perkara itu.

Ordinan itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali, manakala bagi kesalahan yang berterusan pula, denda yang dikenakan tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Saifuddin berkata, kerajaan akan membezakan antara kritik dan berita palsu sebelum mengambil tindakan.

"Sebagai contoh, jika seorang ahli Parlimen mengkritik Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengenai darurat sehingga 1 Ogos dan bukannya 1 Julai, itu bukan berita palsu dan saya beri jaminan kita tidak akan kejar (ambil tindakan).

Artikel Berkaitan:

"Tapi, kalau ada pihak yang katakan bahawa darurat menyebabkan orang kelaparan di sebuah kampung dan apabila disahkan berita palsu, kita akan mengambil tindakan," katanya.

Menurutnya, penguatkuasaan ordinan itu dipertanggungjawabkan kepada pegawai polis dan pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

"Jadi, saya harap orang awam termasuk ahli politik menghargai usaha kerajaan," katanya.

Mengulas mengenai program itu, Saifuddin berkata, projek rintis E-Tuisyen membabitkan 350 pelajar sekolah menengah dan rendah di kawasan parlimen itu.

Menurutnya, mereka dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian di pusat internet komuniti dengan penglibatan 15 orang guru yang mengajar pelbagai subjek.

"Projek ini mendapat kerjasama MSD Innovation Sdn Bhd dan dijangka bermula sepenuhnya pada April ini dan akan memanfaatkan lebih ramai pelajar sekolah di kawasan parlimen itu," katanya.

Sebelum itu, Saifuddin menyampaikan 100 tablet kepada pelajar sumbangan daripada MYNIC Berhad dan Huawei.