Rakyat Malaysia disaran kurangkan garam

Rakyat di negara ini disarankan agar mengurangkan pengambilan garam dalam makanan harian kerana ia akan mendatangkan pelbagai penyakit yang menjejaskan kesihatan. - Foto Bernama Gambar kecil: Mohideen
Rakyat di negara ini disarankan agar mengurangkan pengambilan garam dalam makanan harian kerana ia akan mendatangkan pelbagai penyakit yang menjejaskan kesihatan. - Foto Bernama Gambar kecil: Mohideen
A
A
A

GEORGETOWN - Rakyat di negara ini disarankan agar mengurangkan pengambilan garam dalam makanan harian kerana ia akan mendatangkan pelbagai penyakit yang menjejaskan kesihatan.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, kajian terkini mendapati penduduk Malaysia mengambil 8.7 gram garam dalam sehari iaitu 1.7 kali lebih tinggi daripada yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Menurutnya, kita disarankan mengambil hanya lima gram garam (2,000 miligram (mg) natrium) sehari iaitu bersamaan satu sudu teh.

"Saintis percaya garam akan menaikkan tekanan darah kerana ia berupaya menarik air dan menyebabkan bendungan cecair yang akan mengembangkan isipadu darah dalam arteri, lalu menekan dinding pembuluh darah dan menyebabkan tekanan darah tinggi.

"Pengambilan garam berlebihan juga boleh membawa kepada hipertensi yang dikaitkan dengan peningkatan risiko strok, kegagalan buah pinggang, kematian awal dan hilang upaya.

"Selain itu, ia juga meningkatkan risiko kanser perut, penyakit renal, batu dalam saluran kencing dan mampu memburukkan asma dan osteoporosis," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, kajian juga mendapati, lebih separuh daripada snek yang dikatakan untuk kesihatan turut mengandungi kadar lemak, garam dan gula yang tinggi.

"Dalam kajian tersebut, 119 snek telah diuji termasuk kekacang kering (panggang) dan snek kekacang yang diproses seperti lentil curls, chickpea chips dan puffs yang mana, beberapa sampel tersebut didapati lebih masin daripada air laut.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, papadom dan keropok juga mengandungi natrium yang tinggi. Daripada 11 sampel papadom, didapati ia mengandungi lebih1,000 mg/100 gram dalam tujuh sampel yang diuji manakala empat lagi didapati mengandungi lebih dari 2,000 mg/100 gram," katanya.

Mohideen berkata, selain papadom dan keropok, rakyat Malaysia didapati suka mengambil makanan yang mudah dibeli dan makanan diproses yang terbukti mengandungi kandungan garam yang tinggi.

"Makanan dalam tin; makanan segera; makanan siap dihidang, makanan penjaja) dan makanan yang diproses seperti snek bergaram, roti yang disediakan secara komersial tidak elok dimakan selalu.

"Satu paket mi segera mengandungi 2,000 mg natrium dan rakyat Malaysia amat suka memakannya. Terdapat lebih 40 jenis aditif berasaskan natrium yang dibenarkan dalam makanan yang diproses," katanya.

Mohideen berkata, CAP menasihatkan pengguna agar mengurangkan penggunaan garam dalam masakan sebaliknya menggunakan ramuan herba asli dan bahan perasa untuk menyedapkan makanan.

"Dalam usaha mengawal hipertensi dan mengurangkan kematian awal dalam kalangan penduduk, CAP menasihatkan agar elakkan makan makanan diproses selain pilih makanan yang kurang garam dan sos ketika membeli makanan di luar.

"Selain itu, baca panel maklumat nutrisi (NIP) dan ketahui kandungan natrium dalam makanan yang hendak dibeli," katanya.