X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 28 November 2021

Polis lengkapkan siasatan kes pegawai lepaskan OKT

Sahabudin Abd Manan
A
A

GEORGETOWN - Polis sedang melengkapkan siasatan berhubung beberapa pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang yang dipercayai melepaskan orang kena tuduh (OKT) berkait kes Macau Scam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, sehingga kini, pegawai tersebut masih bekerja seperti biasa namun siasatan masih dijalankan.

Menurutnya, siasatan sedang dijalankan oleh pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang.

"Kes melibatkan OKT berhubung Macau Scam iaitu kes pelaburan tidak wujud. Siasatan masih dijalankan untuk melengkapkan siasatan selain kita memerlukan beberapa laporan dari agensi luar.

"Dari siasatan dijalankan, ia melibatkan lebih dari seorang pegawai (polis). Selepas semua siasatan selesai, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sebelum mereka yang terlibat dituduh di mahkamah," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Sahabudin berkata, tindakan ke atas tugas pegawai terlibat akan dilakukan selepas mereka dituduh di mahkamah.

"Kebiasaannya tindakan tahan kerja akan diambil selepas dituduh di mahkamah manakala gantung kerja pula selepas dijatuhi hukuman.

"Buat masa ini, mereka yang disyaki terlibat (pegawai) masih bekerja seperti biasa," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 217 Kanun Keseksaan kerana melindungi pesalah.

Difahamkan, beberapa pegawai JSJK Pulau Pinang dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dipercayai telah melepaskan lebih 11 OKT yang terlibat dalam Macau Scam dengan cara menyerahkan mereka kepada 'seorang pegawai dari sebuah agensi kerajaan' untuk diambil tindakan.

Bagaimanapun, kesemua OKT warga China tersebut tidak dibawa ke ibu pejabat agensi tersebut dan dipercayai telah dilepaskan.

Dipercayai, pegawai polis yang terlibat menerima sejumlah wang untuk melakukan jenayah tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan penglibatan pegawai polis berkenaan dan hasil siasatan yang dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) mendapati wujudnya kesalahan itu dalam kes tersebut.

Menurutnya, tindakan seorang pegawai polis yang dipercayai bersekongkol dengan suspek sindiket Macau Scam di negeri ini disifatkan sebagai satu pengkhianatan.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Tindakan lepas suspek Macau Scam satu pengkhianatan'


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!