Polis tahan lelaki bantu siasatan kes penganggur dibakar

Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes seorang penganggur disimbah petrol dan dibakar dalam kejadian di Kampung Lendu pada Selasa.
Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes seorang penganggur disimbah petrol dan dibakar dalam kejadian di Kampung Lendu pada Selasa.
A
A
A

ALOR GAJAH - Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes seorang penganggur disimbah petrol dan dibakar sehingga mengalami lecur tahap dua dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Lendu di sini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, lelaki berusia 23 tahun itu yang juga rakan mangsa, ditahan di Taman Dimensi Lendu di sini, kira-kira jam 1.25 pagi Jumaat.

“Lelaki berkenaan mengaku berada di tempat kejadian bersama suspek utama dan mangsa ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, suspek yang didapati positif dadah jenis methamphetamine itu juga mempunyai tujuh rekod lampau melibatkan kes dadah dan samun.

Katanya, motif kejadian dipercayai berkaitan hutang RM50 yang dipinjamkan oleh suspek utama kepada mangsa.

Gerakan mengesan suspek utama berusia 29 tahun tersebut yang juga rakan mangsa, giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Pada Khamis, media melaporkan seorang lelaki berusia 23 tahun melecur tahap dua selepas dipercayai dibakar oleh rakannya dalam kejadian kira-kira jam 5 petang pada 9 Mac lalu. - Bernama

Artikel Berkaitan: