'Inisiatif TWOAS contoh baik dan berani PH'

Nicole Tan
Nicole Tan
A
A
A

SEREMBAN - Inisiatif Kerusi Tambahan Untuk Wanita (TWOAS) yang dilancarkan di Pulau Pinang merupakan contoh yang baik dan berani oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Wanita PH Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, pihaknya menyokong usaha itu kerana ia dapat membantu Malaysia mencapai matlamat pembangunan mampan.

"Penglibatan wanita dalam politik masih ketinggalan dan ia disebabkan pelbagai kekangan antaranya halangan struktur seperti pengecualian di peringkat parti, kekurangan sokongan sosial dan keluarga.

"Selain itu tamparan budaya dalam bentuk seksisme serta jurang kapasiti di mana mereka kurang cenderung daripada lelaki untuk mempunyai pendidikan, kenalan dan sumber yang diperlukan untuk bantu kekal dalam bidang tersebut," katanya dalam satu kenyataan bersama dengan barisan Ketua Wanita daripada parti komponen PH kepada Sinar Harian.

Sehubungan itu katanya, pelaksanaan TWOAS dapat mencapai kesaksamaan jantina, memperbaiki sistem pilihan raya dan merupakan pembaharuan dalam perundangan.

Menurutnya, wanita yang dipilih melalui sistem TWOAS akan memberi perhatian kepada pembentukan dasar-dasar baharu ataupun membuat penambahbaikan.

"Pendekatan ini akan memberi pendedahan awal kepada para wanita berkenaan bidang politik dan bagaimana menggunakan pelantar ini untuk membuat perubahan dan penambahbaikan dalam isu-isu yang dibangkitkan.

"Antaranya termasuk isu keganasan rumah tangga, gelandangan, pengabaian penjagaan warga tua dan sebagainya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nicole berkata, daripada 36 ADUN di Negeri Sembilan, hanya dua ADUN wanita iaitu bersamaan 5.56 peratus dan ia merupakan teori jisim kritikal untuk mencapai sebarang perubahan dari segi dasar.

Jelas beliau, ia akan membawa kesan kepada identiti Negeri Sembilan sebagai masyarakat yang pelbagai, terbuka dan progresif.

"Dari segi peratusan penduduk di Malaysia, wanita terdiri daripada 50 peratus dan dari segi pengundi berdaftar, wanita terdiri daripada 50.58 peratus.

"Jadi jumlah wakil rakyat wanita haruslah seimbang kerana mereka akan lebih menarik pengundi wanita khususnya untuk menyuarakan isu-isu wanita yang sering dipandang sepi oleh kaum lelaki," katanya.

Sehubungan itu katanya, Wanita PH Negeri Sembilan komited dalam memulakan inisiatif untuk menaikkan jumlah wakil rakyat wanita di negeri ini menerusi penganjuran simulasi sidang wanita.

"Program ini akan bantu wanita memahami apa itu politik dan kerja-kerja yang dilaksanakan untuk membantu masyarakat secara menyeluruh.

"Melalui inisiatif ini, bukan sahaja dapat mempertingkatkan ilmu dan kedudukan wanita dalam masyarakat, malah pengisian dan cadangan wanita dapat diterima dan digunakan demi usaha pembaikan sistem politik yang keruh sekarang," katanya.