Rancang guna duit i-Sinar sebagai modal perniagaan

Mohd Fairuz menunjukkan permohonan pengeluaran duit KWSPnya diterima.
Mohd Fairuz menunjukkan permohonan pengeluaran duit KWSPnya diterima.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang juruvideo merancang menggunakan duit i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikeluarkannya untuk menjalankan perkhidmatan penghantaran pelajar ke sekolah bersama isterinya.

Mohd Fairuz Mohd Yasin, 45, berkata, keputusan memulakan perniagaan itu sebagai persediaan selepas melihat ramai terjejas akibat Covid-19.

“Pada awalnya, duit itu saya nak keluarkan untuk disimpan sebagai simpanan kecemasan.

“Tapi bila tengok keadaan semasa, saya fikir mahu serius buat bisnes dengan menawarkan perkhidmatan menghantar anak-anak ke sekolah,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia membuat permohonan pengeluaran RM10,000 untuk dijadikan modal membeli sebuah kereta yang lebih besar bagi membolehkannya menerima lebih banyak permintaan ibu bapa menghantar anak ke sekolah.

Katanya, ketika ini isterinya hanya membawa kereta jenis Perodua Viva dan kapasiti pelajar yang boleh diterima adalah sangat terhad.

“Isteri saya buat perkhidmatan hantar pelajar ke sekolah ini sudah tiga tahun dan mendapat banyak permintaan. Tapi terpaksa ditolak kerana kereta digunakan kecil.

“Saya dan isteri rancang beli kereta kedua yang lebih besar supaya saya pun boleh buat sama-sama perkhidmatan ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Malah dia menganggap peluang mengeluarkan duit simpanan KWSP itu amat bermakna kerana ia merupakan caruman yang dibuatnya sepanjang tempohnya bekerja.

Mohd Fairuz berkata, permohonannya kali pertama ditolak, namun dia bersyukur apabila KWSP telah mengubah syarat pengeluaran sebelum ini dengan membenarkan pengeluaran tanpa syarat.