X

Kindly register in order to view this article
!

Hamidin dilantik Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi

Hamidin Mohd Amin
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dilantik sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam yang dijadual berlangsung dari 21 November hingga 2 Disember depan.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pemilihan Hamidin itu berdasarkan kepada kemampuan dan pengalamannya menerajui FAM untuk menguruskan kontinjen negara membabitkan jumlah atlet negara yang ramai pada temasya dwitahunan itu.

Beliau berkata, keputusan itu diambil sebulat suara pada mesyuarat Lembaga Eksekutif badan induk berkenaan yang berlangsung pada Selasa selepas menerima cadangan daripada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

"Kita memerlukan seorang pemimpin yang mempunyai daya kepimpinan tinggi, mempunyai pengalaman luas, tahu keseluruhan proses dari segi pentadbiran sukan, pemilihan atlet dan juga ‘hands on’ kepada kontinjen negara.

"Walaupun kita selalunya beranggapan Sukan SEA adalah sukan persahabatan, tetapi kita selalunya akan hantar kontinjen yang besar. Kita rasa sebagai pemimpin satu organisasi sukan yang besar seperti FAM (Hamidin merupakan calon sesuai) untuk menjaga kontinjen seumpama itu," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM ke-25 di Wisma MOM di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohamad Norza berkata, Jawatankuasa Pemilihan akan mengadakan perjumpaan dengan persatuan-persatuan sukan kebangsaan (PSK) pada 18 dan 19 Mac ini bagi membincangkan komposisi atlet ke temasya sukan berkenaan susulan keputusan untuk menghantar kontinjen campuran dibarisi atlet muda dan senior.

"Kita bercadang jumpa PSK untuk teliti sama ada mereka mempunyai atlet junior ataupun tidak, dan sekiranya mereka ada perancangan tertentu untuk mengetengahkan atlet junior. Kita juga ingin melihat atlet senior yang mereka ada untuk mengenal pasti siapakah yang layak mewakili sukan masing-masing," katanya.

Mohamad Norza berkata, pihak penganjur juga belum memuktamadkan jumlah sebenar acara akan dipertandingkan kerana masih ada persatuan membuat rayuan seperti Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang meminta acara lebuh raya dipertandingkan.

"MOM dijangka menghantar penyertaan mengikut sukan pada hujung bulan ini, manakala penghantaran senarai panjang atlet dianjak sehingga Mei," katanya.

Pada Sukan SEA 2019 di Filipina, Presiden (ketika itu Setiausaha Agung) Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Kontinjen negara. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!