Kuantan Art Street dicemari vandalisme

Mural posmen bersama aksesori tambahan bagi menghidupkan mural menjadi seperti tiga dimensi. (Gambar kecil: Mohammad Amir)
Mural posmen bersama aksesori tambahan bagi menghidupkan mural menjadi seperti tiga dimensi. (Gambar kecil: Mohammad Amir)
A
A
A

KUANTAN - Kumpulan pelukis mural di lorong belakang barisan kedai lama di Jalan Besar, di sini kecewa dan sedih dengan sikap segelintir pengunjung kerana melakukan vandalisme di kawasan Kuantan Art Street.

Ketua kumpulan pelukis, Mohammad Amir Farouk berkata, beberapa aksesori tambahan pada lukisan mural tersebut telah dirosakkan oleh pengunjung termasuk sampah-sarap dibuang merata-rata di kawasan tersebut.

"Kerja-kerja melukis sedang berjalan namun kerosakan terhadap aksesori tambahan dilaporkan berlaku. Siapa tak kecewa kalau benda cantik yang masih dalam proses telah dirosakkan pengunjung. Kalau dah siap sepenuhnya, saya tidak tahu macam mana jadinya pula.

"Kalau boleh benda yang cantik biarlah ia kekal cantik. Jangan cuba rosakkan kawasan ini kerana orang luar datang untuk melihat mural mengenai kisah dan identiti rakyat Pahang," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Lorong belakang barisan kedai lama di Jalan Besar pada Selasa.

Tular di laman sosial Facebook rasmi Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mengenai perbuatan vandalisme dilakukan segelintir pengunjung sehingga menyebabkan kerosakan kepada beberapa aksesori tambahan mural di Kuantan Art Street.

Padel dan rantai basikal tersebut telah rosak akibat dinaiki pengunjung.
Padel dan rantai basikal tersebut telah rosak akibat dinaiki pengunjung.

Mohammad Amir berkata, kerosakan itu kemungkinan berpunca daripada sikap segelintir pengunjung yang terlampau teruja ketika merakamkan gambar kenangan.

Bagaimanapun, beliau berharap orang ramai yang berkunjung ke kawasan itu dapat menjaga kecantikan dan keindahan mural berasaskan 3D itu pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata, pihaknya telah melakukan tinjauan dan mendapati beberapa aksesori tambahan memang telah rosak.

Menurutnya, terdapat sampah seperti bekas makanan dan minuman juga ditinggalkan oleh pengunjung walaupun terdapat tong sampah disediakan di kawasan tersebut.