RB Leipzig intai peluang malukan Liverpool

RB Leipzig berpeluang menewaskan Liverpool dalam aksi timbal balik di Puskas Arena pada awal pagi Khamis.
RB Leipzig berpeluang menewaskan Liverpool dalam aksi timbal balik di Puskas Arena pada awal pagi Khamis.
A
A
A

PASUKAN dari Jerman, RB Leipzig tekad mahu menjadi pasukan seterusnya memalukan Liverpool apabila kedua-dua pasukan bakal bertemu dalam aksi timbal balik pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara di Puskas Arena pada awal pagi Khamis.

Pemain pertahanan RB Leipzig, Angelino berkata, Liverpool berada dalam tekanan ketika ini dan pasukannya boleh mengambil kesempatan dengan menyamakan defisit jaringan dua gol yang dimiliki Liverpool hasil daripada pertemuan pertama baru-baru ini.

"Perlawanan pertama baru-baru ini satu perlawanan yang sukar dengan kedua-dua pasukan bermain dengan bagus. Kami beberapa kali berjaya mengatasi pemain pertahanan mereka, namun gagal menyempurnakan peluang.

"Jadi, untuk perlawanan seterusnya, kami perlu memanfaatkan kelemahan mereka dan mencipta beberapa peluang lagi seperti yang kami lakukan pada perlawanan pertama. Kami dapat memberi tekanan kepada mereka dengan menghasilkan beberapa peluang yang kami ada.

"Kami positif kerana kami bermain dalam perlawanan yang sukar. Masih ada 90 minit lagi dan kami akan fokus dan bersedia untuk mencipta kejutan. Tekanan sudah tentu pada Liverpool dengan kami pula bukanlah pasukan pilihan," katanya.

Liverpool hanya selangkah ke saingan suku akhir Liga Juara-Juara dengan kelebihan dua gol yang dijaringkan Mohamed Salah dan Sadio Mane dalam kemenangan pada aksi pertama yang turut berlangsung di Puskas Arena baru-baru ini.

Namun, prestasi semasa The Reds yang hanya mampu mencatatkan satu kemenangan dalam tujuh perlawanan membuka peluang untuk RB Leipzig mencipta kejutan ke atas pasukan gergasi Inggeris itu.

Dalam pada itu, Angelino menyifatkan kemerosotan aksi Liverpool berkemungkinan besar kerana kecederaan yang dialami tonggak pertahanan pasukan itu Virgil van Dijk.

Artikel Berkaitan:

"Sudah jelas, van Dijk amat diperlukan dan penting buat Liverpool. Apabila Liverpool kehilangan van Dijk mereka jatuh dan prestasi merosot. Namun, setiap pasukan ada turun naik mereka. Mereka juga mampu menumpaskan sesiapa sahaja jika hari itu memihak mereka.

"Jadi, kami perlu bersedia, fokus dan berpegang dengan perancangan kami. Mereka mempunyai pemain yang bagus dan sudah tentu mereka akan bangkit dan memberikan yang terbaik," katanya.