Abang Ustaz Kazim beransur pulih

Mohd Najmuddin menerima kunjungan adiknya, Mohd Kazim yang melihat keadaan kecederaan di kaki kanan yang terkena ekzos dalam kemalangan pada Sabtu.
Mohd Najmuddin menerima kunjungan adiknya, Mohd Kazim yang melihat keadaan kecederaan di kaki kanan yang terkena ekzos dalam kemalangan pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Keadaan kesihatan penceramah, Datuk Mohd Najmuddin Elias yang juga abang kepada pendakwah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias semakin pulih selepas terbabit dalam kemalangan motosikal pada Sabtu.

Ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin, Mohd Najmuddin berkata, setakat ini beliau tidak memerlukan rawatan susulan dan hanya membuat pemeriksaan dan rawatan awal di klinik swasta.

Menurutnya, sakit dada yang dirasai akibat terhempap batu ketika tergelincir daripada motosikal ditungganginya itu beransur reda.

"Doktor maklumkan tiada luka atau patah tulang, cuma hentakan itu tepat pada bahagian dada menyebabkan rasa sakit di paru-paru agak kuat, nak cakap banyak pun agak sukar dan akan terasa lebih sakit apabila batuk," katanya.

Beliau telah dinasihatkan untuk berehat daripada sebarang aktiviti termasuk menyampaikan ceramah sekurang-kurangnya dalam tempoh satu minggu ini.

Katanya, jika tahap kesihatan makin merosot, barulah dirujuk ke hospital untuk rawatan susulan.

"Saya harap dapat pulih segera kerana masih banyak aktiviti kebajikan dan ceramah perlu diteruskan.

"Akibat kejadian ini, tak kurang enam program ceramah terpaksa saya batalkan; antaranya di Ulu Chepor, Kampung Manjoi dan Meru. Insya-ALLAH mana-mana program yang batal ini akan saya susun semula apabila sembuh kelak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau berusia 57 tahun itu juga berharap orang ramai terus mendoakan kesihatannya.

"Kejadian ini sedikit pun tidak melunturkan semangat saya meneruskan program amal dan menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

"Selagi mampu, saya akan berdakwah dan berbakti hingga akhir hayat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Abang Ustaz Kazim kemalangan