X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Melaka tiada halangan benarkan penganjuran bazar Ramadan

Sulaiman menunjukkan buku PSMJ 2035 pada sidang akhbar di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh pada Isnin.
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri tiada halangan membenarkan penganjuran bazar Ramadan pada tahun ini kerana bertepatan inisiatif Melaka bebas berniaga 2021.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, bagaimanapun kebenaran itu bergantung kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, sekiranya terdapat perkembangan terkini berkaitan pandemik Covid-19 seperti penurunan kes, Melaka tidak akan ketinggalan untuk bazar Ramadan beroperasi.

"Saya suka melihat kemeriahan pada bulan Ramadan dan begitu juga rezeki yang akan dilimpahkan di bulan Ramadan, lebih lagi sembilan daripada sepuluh pintu rezeki adalah berniaga," katanya.

Sulaiman berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya (PSMJ) 2035 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, sebanyak lapan projek berskala besar akan menjadi 'flagship' atau teras utama memainkan peranan penting PMSJ 2035 yang akan dilaksanakan secara holistik dan komprehensif bagi tempoh 15 tahun akan datang.

Menurut Sulaiman, ia termasuk Zon Pembangunan Ekonomi (M-WEZ), Pengurusan Air Mampan, Pembangunan Bersepadu, Digital Melaka dan Melaka adalah Negeri Usahawan.

Katanya, pelan terbabit direncanakan untuk mempersiapkan Melaka menghadapi zaman perubahan, mendepani era Industri 4.0, ekonomi digital dan masyarakat 5.0 serta tuntutan teknologi zaman mendatang.

Selain itu, Sulaiman dijangka membentangkan prestasi pencapaian sepanjang setahun mentadbir kerajaan negeri pada bulan depan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!