Remaja Rohingya masuk Malaysia ikut laluan tikus

Antara remaja etnik Rohingya yang ditahan PPM.
Antara remaja etnik Rohingya yang ditahan PPM.
A
A
A

KLANG - Seramai 10 remaja etnik Rohingya dan seorang wanita berusia 57 tahun yang baru tiba di negara ini melalui laluan tikus di Pulau Ketam Klang dicekup Pasukan Polis Marin (PPM) petang semalam.

Mereka dipercayai datang ke negara ini untuk mencari perlindungan berikutan penempatan mereka yang bergolak dan bagi menemui ahli keluarganya yang telah menetap di sini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Khairuddin Jamal berkata, berdasarkan siasatan awal PPM, mereka datang ke negara ini menaiki bot dan diturunkan berhampiran Pulau Ketam.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan dalam tiga tangkapan berasingan dengan bantuan anggota Polis Pulau Ketam.

"Tangkapan pertama pada jam 4.47 petang di Jalan Besar Sungai Satu Pulau Ketam, menahan tiga remaja lelaki.

"Diikuti tangkapan ke dua lapan minit kemudian di Jeti Awam Pulau Ketam, menahan dua remaja lelaki.

"Dan tangkapan ke tiga pada jam 4.59 petang di Jalan Besar Bagan Teo Chew Pulau Ketam menahan lima remaja perempuan dan seorang wanita dewasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairudin berkata, kesemua remaja itu berusia antara 12 hingga 19 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Hasil pemeriksaan dapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Mereka dipercayai datang ke negara ini untuk mencari keluarga dan saudara mara yang telah menetap di sini. Tujuan asalnya bukan untuk mencari pekerjaan.

"Mereka disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan di bawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut," katanya.