JPM Perak laksana survey pendapatan, perbelanjaan isi rumah

Dari kanan: Rafliza, Nur Aizatul Hajar (berdiri), Maslina Samsudin dan Mohd Damanhuri menunjukkan surat dan dokumen yang digunakan untuk tujuan survey berkenaan.
Dari kanan: Rafliza, Nur Aizatul Hajar (berdiri), Maslina Samsudin dan Mohd Damanhuri menunjukkan surat dan dokumen yang digunakan untuk tujuan survey berkenaan.
A
A
A

IPOH - Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM) Perak sedang melaksanakan Survey Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) dan Kemudahan Asas (BA) 2019 bermula Januari hingga Disember tahun ini.

Pengarahnya, Rafliza Ramli berkata, survey berkenaan amat penting bagi mengumpul maklumat taburan pendapatan dan pola perbelanjaan isi rumah termasuk mengenal pasti golongan sasar seperti isi rumah B40 dan miskin.

Beliau berkata, hasil survey itu akan digunakan oleh kerajaan dalam menyediakan dan memantau Rancangan Malaysia.

"Penemuan survey ini sentiasa dinantikan kerajaan dan penganalisis untuk menilai kemajuan negara terutama berkaitan agihan pendapatan yang dinikmati rakyat.

"Bagi tujuan pelaksanaan survey HIES pada tahun ini, dianggarkan sejumlah lebih 7,000 tempat kediaman terpilih di Perak meliputi semua daerah pentadbiran akan dilawati," katanya kepada Sinar Harian dalam satu pertemuan di Pejabat Jabatan Perangkaan Perak, di sini.

Turut sama dalam pertemuan itu, Timbalan Pengarah JPM Perak, Maslina Samsudin, Penolong Pengarah Jabatan Perangkaan Perak, Nur Aizatul Hajar Abdul Kadar dan Mohd Damanhuri Abdul Aziz.

Rafliza berkata, sehubungan itu, pihaknya mengharapkan kerjasama daripada masyarakat untuk memberikan maklumat yang tepat kepada Jabatan Perangkaan Malaysia.

Katanya, orang ramai tidak perlu bimbang dengan kehadiran pegawai perangkaan yang akan memperkenalkan diri bersama Kad Kuasa pengenalan Pegawai dan Surat Pemakluman pelaksanaan Survey Pendapatan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas, 2019 serta memakai vest Jabatan Perangkaan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Responden atau orang awam boleh menghubungi pejabat Jabatan Perangkaan Perak untuk mendapatkan pengesahan selain melayari portal www.dosm.gov.my bagi mengetahui maklumat lanjut mengenai survey ini.

"Maklumat-maklumat yang dikumpul oleh pegawai Jabatan Perangkaan Malaysia adalah sulit dan hanya digunakan bagi tujuan perangkaan kerana tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Perangkaan 1965 (disemak 1989)," katanya.

Menurut Rafliza, pihaknya sedang membuat hebahan dan pemakluman kepada orang ramai berhubung pelaksanaan survey ini termasuk melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).