Enam pemilik tanah terlibat pembakaran terbuka disaman

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Alam Sekitar dan Air mengeluarkan saman kepada enam pemilik tanah yang didapati melakukan pembakaran terbuka yang mendorong berlakunya jerebu dan pencemaran udara.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan negeri juga diseru untuk memberi lebih perhatian kepada beberapa kawasan seperti tempat pelupusan sampah dan tanah pertanian agar tidak berlaku aktiviti pembakaran terbuka secara berleluasa.

Menurutnya, kebiasaannya tanah gambut antara kawasan yang sering terbakar akibat cuaca panas sebagaimana berlaku ketika ini.

"Saya ucapkan terima kasih kepada pihak bomba (Jabatan Bomba dan Penyelamat) yang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran.

"Saya difahamkan ada tiga, empat tempat lagi yang terbakar termasuk dua di Selangor tetapi alhamdulillah, sebahagian besarnya dapat kita kawal," katanya ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Khamis.

Beliau berkata, suatu mesyuarat khas melibatkan Jawatankuasa Jerebu Kebangsaan juga akan diadakan pada bulan ini untuk mengadakan perbincangan secara menyeluruh berhubung isu jerebu dan pencemaran udara.

"Selain itu, KASA juga telah mengambil inisiatif untuk membina empangan kecil di beberapa lokasi 'hotspot' sebagai inisiatif untuk mengawal kebakaran yang berlaku," katanya.

Dalam perkembangan sama, Tuan Ibrahim berkata, punca kualiti udara tidak sihat adalah disebabkan peningkatan kes pembakaran terbuka iaitu melibatkan kawasan hutan, tanah gambut dan tapak pelupusan sampah dalam negara susulan keadaan cuaca panas dan kering yang bermula sejak pertengahan Februari 2021.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga diminta untuk memantau rapi tahap kualiti udara setiap jam berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah di tahap tidak sihat di kawasan terlibat.