IT TESTING Ladang tenaga di jalan raya

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

MALAYSIA merupakan salah sebuah negara beriklim tropika yang terletak di Asia yang panas dan lembap sepanjang tahun. Terletak berhampiran garisan khatulistiwa, Malaysia mempunyai julat suhu sekitar 21 darjah Celsius hingga 35 darjah Celsius.

Tambahan pula, turapan asfalt yang biasanya digunakan untuk membuat jalan raya, berkemampuan untuk menyerap haba yang tinggi sehingga 70 darjah Celsius, terutamanya semasa cuaca panas.

Tidak seperti sel tenaga suria yang terdapat pada hari ini, haba yang terperangkap di dalam turapan asfalt mampu bertahan dan mengekalkan tenaga yang telah diserap walaupun matahari sudah terbenam.

Mengambil kira kemampuan penyerapan haba yang tinggi serta banyak digunakan di kawasan parkir kereta dan jalan tar, penjanaan tenaga haba daripada turapan asfalt menggunakan medium pengumpul suria mampu menjanjikan potensi yang baik.

Menurut Statistik Jalan Malaysia 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), jalan persekutuan adalah sepanjang 20,017.97 km (12,438.59 batu), jalan negeri 247,027.61 km (153,495.84 batu), dan menjadikan jumlah keseluruhan jarak adalah 290,099.38 km (180,259.40 batu).

Angka-angka ini tidak termasuk jalan jalan tempatan dan kawasan perkampungan yang berada di bawah kuasa kerajaan tempatan.

Dengan jaringan jalan raya yang luas serta cuaca panas di Malaysia, ia mampu memanfaatkan tenaga suria sebagai sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

Jalan raya suria merupakan teknologi yang sedang dibangunkan bagi menjana kuasa tenaga elektrik terhadap infrastruktur kemudahan dan pengangkutan.

Artikel Berkaitan:

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Minggu pertama Julai paling panas

Duka musim panas di UK

Tak tahan panas, terpaksa pendekkan waktu ke sawah

Ia dijangka menawarkan penyelesaian yang berkesan bagi mengurangkan kesan pulau haba dan pencemaran alam sekitar, pada dasarnya mengubah turapan menjadi ‘ladang tenaga’ baharu.

Alternatif kos efektif untuk sumber tenaga boleh diperbaharui adalah sejajar dengan prinsip kemapanan, yang terdiri daripada tiga teras: ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Tenaga Nasional Berhad (TNB), merupakan sebuah syarikat pengagihan tenaga monopoli di Malaysia menyasarkan untuk mengurangkan penghasilan karbon serta menggalakkan kelestarian alam sekitar.

Beberapa negara lain termasuk China, Perancis dan Netherlands telah mencapai kemajuan yang luar biasa dalam membangunkan jalan raya suria. Pada sekitar tahun 2017, China telah memasang sepanjang 1km di Jinan, iaitu bandar utama daerah Shandong.

Berkeluasan 5875-meter persegi, lebuh raya suria ini mampu menghasilkan sehingga 1GWh elektrik setahun, cukup untuk membekalkan tenaga untuk 800 buah rumah.

Kerajaan China merancang untuk menggunakan elektrik bagi menyalakan lampu jalan, papan iklan, kamera CCTV, serta memanaskan permukaan jalan untuk mencairkan salji. Dalam tempoh 14 minggu pertama pengoperasian, jalan raya menghasilkan 96MW tenaga.

Di negara lain seperti Perancis telah membuka jalan raya suria sepanjang 1 km di Normandy. Jalan raya suria sel fotovoltaik berkeluasan 2800-meter persegi telah dibina oleh Colas, iaitu syarikat pembinaan Inggeris-Perancis yang terkemuka. Dianggarkan tenaga elektrik yang terhasil mencukupi bagi menyalakan lampu jalan berdekatan, iaitu rumah kepada 3400 orang penduduk.

Netherlands telah memperkenalkan laluan basikal penuaian tenaga diturap dengan panel suria bersalut kaca.

Selepas setahun, laluan basikal panel suria SolaRoad telah menjana 70kWj bagi setiap meter persegi, melangkaui jangkaan serta membekalkan tenaga yang cukup untuk anggaran tiga buah rumah.

Secara keseluruhannya, aplikasi penjanaan tenaga daripada jalan raya suria ini menjanjikan banyak potensi di dalam industri penjanaan tenaga baharu.

Pihak berkepentingan seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta institusi-institusi penyelidikan seperti UNITEN memainkan peranan penting bagi memastikan kejayaan visi ini.

*Dr Salmia Beddu ialah Pensyarah Kanan di Kolej Kejuruteraan, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan boleh dihubungi di salmia@uniten.edu.my