5 isu besar yang mungkin hangat di Dewan Rakyat

No Image Caption
A
A
A

TANPA disangka-sangka, Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah pada 24 Februari menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa.

Perkembangan ini berkait rapat dengan ketibaan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNtech pada 24 Januari lalu dan permulaan proses suntikan kepada rakyat yang dimulakan dengan para petugas barisan hadapan di seluruh negara melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Berdasarkan takwim terkini yang dipaparkan di laman web Parlimen, Yang di-Pertuan Agong dijadual merasmikan istiadat pembukaan sidang Dewan Rakyat pada 8 Mac ini.

Ini membawa beberapa perspektif kepada pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang genap setahun sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2021. Apabila Muhyiddin mengumumkan proklamasi darurat pada 12 Januari lalu, ramai yang mengkritik sebagai strategi untuk untuk memanjangkan lagi tempoh hayatnya sebagai Perdana Menteri.

Namun perkara tersebut dijelaskan dengan tegas oleh Yang di-Pertuan Agong bahawa proklamasi tersebut dikuatkuasakan berikutan pandemik Covid-19 yang meningkat mencanak-canak dan sehingga kini sudah meragut lebih 1,000 nyawa dan meningkat setiap hari.

Mengikut percaturan politik, ramai percaya Muhyiddin berdepan situasi yang cukup menekan kerana ketika berdepan Covid-19, beliau turut dihimpit dengan bekas partinya, UMNO yang sekarang tidak berselindung lagi mengisytihar akan bertanding semua kerusi, termasuk yang dimenangi Bersatu. Bermakna tiada kompromi sama sekali.

Daripada satu sudut lain, jika sesiapa tidak mengenali Muhyiddin, silalah Google di internet. Beliau tidak akan menggunakan taktik itu ini untuk mengelak diadakan pilihan raya, apalagi semata-mata untuk menyambung hayat jawatan Perdana Menteri.

Jadi apakah yang boleh kita jangkakan bila sidang Dewan Parlimen dibuka semula? Apakah akan ada satu lagi coup d’etat atau satu lagi langkah 'pintu belakang'? Jika ini berlaku semasa Covid-19 belum diselesaikan, lihatlah nanti apa rakyat akan berikan.

Artikel Berkaitan:

Persoalan pilihan raya belum lagi, mungkin. Sebab walaupun dibenarkan Dewan Rakyat bersidang, proklamasi darurat masih berkuatkuasa.

Jadi inilah waktu paling mujarab, paling terbaik untuk ahli Parlimen di pihak kerajaan dan juga pembangkang yang berperanan sebagai semak dan imbang, supaya membincangkan isu-isu negara yang tertangguh atau perlukan penjelasan terutama berkaitan krisis kesihatan.

Antara isu negara yang perlu dirungkai oleh pentadbiran Muhyiddin sebelum ditanya bertubi-tubi di Parlimen ialah:

Pengangguran

Semua impak Covid-19 telah mengakibatkan ekonomi negara merudum sehingga menyebabkan kadar pengangguran begitu tinggi akibat dibuang kerja dan sebagainya.

Pengangguran di Malaysia meningkat kepada 772,900 orang pada kadar 4.8 peratus pada Disember 2020, demikian menurut perangkaan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia.

Guna tenaga dalam industri berkaitan pelancongan seperti penginapan dan perkhidmatan makanan; pengangkutan dan penyimpanan; dan kesenian, hiburan dan rekreasi terus menurun yang mencerminkan kesan pandemik kepada industri berkenaan.

Ketika pelbagai insentif diperkenalkan, bantuan diumumkan bagi membantu majikan supaya dapat mengekalkan pekerjaan, isu sebenar kehilangan mata pencarian adalah masalah yang angkanya masih meningkat bulan ke bulan.

Rakyat mahu lihat tindakan afirmatif dalam soal pengangguran. Yang hilang kerja, yang baru graduan tanpa konvokesyen dan sebagainya. Ini termasuk persoalan pekerja asing.

Pekerja asing

Benar, perdebatan soal hilang kerja dan keperluan pekerja asing sudah zaman berzaman berlaku. Rakyat kita hilang kerja dalam segmen industri perkhidmatan seperti restoran, penerbangan, pelancongan dan banyak lagi.

Pekerja asing pula dalam segmen perkilangan, kebanyakannya. Pada hati sesetengah rakyat, pekerja asinglah yang 'menyumbang’ kepada angka besar kes positif Covid-19 sejak Disember lalu bila terbongkar penularan di kawasan kediaman yang dikhaskan oleh majikan masing-masing.

No Image Caption

Nampak sangat majikan dalam sektor perkilangan, terus menerus bersikap 'leka dalam lewa’ dengan pekerja asing. Bagaimana sebenarnya mereka menjaga kebajikan pekerja asing ini? Ada rumah, okay. Tapi yang kita ngeri, satu demi satu pekerja asing didapati positif Covid-19. Kalau ini ditakrifkan sebagai 'menjaga bagus kebajikan’ tetapi meletup begitu banyak kes positif, hal ini kena diberi perhatian. Di mana penguatkuasaan?

Keadaan ini menjadi teka-teki pula bila terbaca laporan media Bangladesh dua minggu lepas mendakwa ada perbincangan Menteri Sumber Manusia Malaysia dengan rakan sejawatannya di Bangladesh, untuk membawa masuk lagi pekerja dari negara itu.

Serius? Masa Covid-19 ini ketika rakyat kita tiada pekerjaan? Nak bawa masuk lagi pekerja Bangladesh?

Harga petrol

Selama 4 minggu berturut-turut harga minyak meningkat dengan Jumaat lepas RON95 menjadi RM2.05 seliter. Tidak apa, sebab ramai `work from home’. Beli makanan pun 'from home’.

Mungkin saya seorang rasa cemas sebab tergolong dalam kategori ‘must work in the office', maka menanggunglah harga minyak naik setiap minggu.

Tanpa perlu menghuraikan lanjut, semua tahu harga petrol bila naik, akan mendorong benda-benda lain naik sama. Sudahlah perit hidup dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malah ada kawasan dikuatkuasakan perintah kuarantin, kini kena tanggung azab kesan harga minyak.

Rakyat kena diyakinkan bahawa kenaikan ini tidak akan menambah derita kita yang menanti giliran cucuk vaksin berbulan-bulan, berbanding VIP di Putrajaya yang dapat suntikan lebih awal.

Salah guna kuasa

Jumaat lepas, keluar kenyataan media Kementerian Kewangan bahawa ia telah mencapai persetujuan Kumpulan Ambank untuk membayar balik RM2.83 bilion kepada kerajaan, dana yang berkait dengan isu 1MDB.

Tidak tahulah apa akhiran 1MDB yang telah menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2018 ini.

Tetapi pada Januari, Malaysia tiba-tiba mengelonsor enam tangga untuk duduk di tangga ke-57 Indeks Persepsi Rasuah Dunia. Faktor yang menyebabkan negara terperosok ialah maklumat terhad mengenai hal-hal kepentingan awam, skandal daging tidak halal, pembongkaran dan pendakwaan pegawai awam atas tuduhan salah guna kuasa dan rasuah yang tidak susut-susut dan beberapa lagi.

Sekolah

Apakah hanya orang yang ada anak di bangku sekolah dapat menyelami keluh-kesah ibu bapa mengenai dasar persekolahan negara semasa Covid-19 ini?

Dibeli komputer riba, secara hutang dengan ah long pula tiba-tiba diumum sekolah dibuka. Diperkenal stesen televisyen khas pendidikan, pun macam tergesa-gesa apabila guru yang tampil mengajar seolah-olah tiada skrip.

Apa kesudahan kepada anak-anak kita yang hilang setahun pengajian pada 2020? Apa cerita anak-anak kita yang masuk Tahun Dua, apakah kurikulum Tahun satu diulang atau jalan saja? Ini kita hendak tahu. Tolonglah bagitau.

Isu-isu di atas seolah-olah membentangkan kritikan kepada pentadbiran Muhyiddin. Mungkin benar jika dilihat dari kaca mata kasar. Tetapi harus ditekankan bahawa isu-isu di atas adalah dekat di hati dan menjadi perbualan rakyat di kedai kopi dan media sosial.

Hendak buat-buat tidak tahu, susah kami ini orang media. Dikata tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai wartawan pula nanti jika tidak mengutarakannya.

Walau apapun, mohon sangat pentadbiran Muhyiddin sudi-sudikanlah menjawab persoalan yang dibentangkan di dalam ruangan ini di Dewan Rakyat nanti. Bukan mencabar, bukan menghentam sembrono.