Sindiket edar dadah berselindung sebalik gelaran Tan Sri, Datuk

Abdul Hamid Bador - Foto Bernama
Abdul Hamid Bador - Foto Bernama
A
A
A

JELI - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan bahawa terdapat golongan yang berstatus Tan Sri, Datuk Seri dan Datuk yang berselindung di sebalik gelaran itu untuk terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sudah mengenali golongan bersatus itu dan kini sedang mengumpul bukti bagi membolehkan tindakan diambil ke atas mereka.

"Ini bukan janji kosong PDRM kerana kebanyakan mereka yang ditangkap hanyalah golongan bawahan.

"Sedangkan (golongan) atasan bergembira dengan hasil kehancuran orang lain," katanya kepada pemberita selepas turun padang meninjau perkembangan terkini pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli di sini pada Sabtu.

Lawatan tersebut turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Ahli Parlimen Jeli.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.

Abdul Hamid (kanan) bersama Mustapa (tengah) meninjau perkembangan terkini pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli pada Sabtu.
Abdul Hamid (kanan) bersama Mustapa (tengah) meninjau perkembangan terkini pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli pada Sabtu.

Abdul Hamid sehubungan itu berkata, PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang berstatus sekiranya mereka benar-benar terlibat dengan aktiviti haram tersebut.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, apabila polis mendapat bukti bahawa golongan berstatus itu benar-benar terlibat, mereka akan didakwa di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

"PDRM mahu individu terbabit dihadapkan ke muka pengadilan, seterusnya dijatuhkan hukuman yang setimpal di atas kesalahan itu," katanya.

Menurutnya, PDRM juga telah memberikan cadangan kepada kerajaan bagi memperkasakan lagi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

"Pemerkasaan ini merupakan usaha PDRM dalam membendung penyalahgunaan dadah.

"Ancaman dadah merupakan perkara serius. Ia dapat dilihat apabila setiap minggu kejayaan rampasan bahan terlarang itu berjaya dipatahkan oleh PDRM," katanya.