X

Kindly register in order to view this article
!

Polis tembak tayar Proton Waja selepas rempuh kenderaan

Insiden sebuah Proton Waja merempuh beberapa buah kenderaan di Sungai Buloh yang tular di media sosial pada Jumaat.
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Dua lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja bertindak ganas dengan merempuh beberapa buah kenderaan di lampu isyarat Bulatan Sierramas, Sungai Buloh biarpun tembakan dilepaskan polis ke arah tayar kenderaan terbabit.

Kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu berlaku apabila kereta dinaiki dua lelaki itu telah dikejar anggota unit kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dari Kampung Desa Aman sebelum suspek terkepung oleh beberapa kenderaan lain di lampu isyarat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek juga cuba merempuh kereta polis hingga memaksa salah seorang anggota melepaskan tembakan pada tayar Proton Waja terbabit.

Menurutnya, kereta suspek berjaya melepaskan diri selepas merempuh kenderaan di hadapannya.

"Suspek kemudian bertindak memecut ke arah Jalan Kuala Selangor-Sungai Buloh sebelum memberhentikan kenderaannya di tepi jalan kerana kebocoran tayar.

"Tindakan pantas Bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan unit anjing pengesan (K9) menemui dadah jenis heroin seberat kira-kira 1.7 gram di dalam kereta suspek," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dua suspek melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan jenis Proton Waja di tepi jalan akibat kebocoran tayar.
Dua suspek melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan jenis Proton Waja di tepi jalan akibat kebocoran tayar.

Bertindak hasil maklumat, Nik Ezanee berkata, polis berjaya memberkas seorang lelaki berusia 35 tahun tidak jauh dari lokasi kereta itu ditinggalkan kira-kira jam 6.30 petang.

Katanya, suspek yang memiliki lapan rekod lampau kes dadah itu akan direman pada Sabtu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 188 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958," katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan seorang lagi rakan suspek iaitu pemandu kereta terbabit dikenali sebagai 'Bob Mah Sing' berusia lingkungan 40-an.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Chew Yong Hoa di talian 014-3929448 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Pada Jumaat, tular di media sosial beberapa rakaman video memaparkan kejadian terbabit yang dirakam orang awam di lokasi kejadian.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!