MEDAC menerusi YBR peruntuk RM400,000 buat pelajar B40, mangsa banjir

Wan Junaidi beramah mesra dengan pelajar B40 yang menerima bantuan persekolahan di Pejabat Menteri MEDAC pada Rabu.
Wan Junaidi beramah mesra dengan pelajar B40 yang menerima bantuan persekolahan di Pejabat Menteri MEDAC pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan RM400,000 untuk disumbangkan kepada pelajar B40 yang bakal menghadiri sesi pembukaan semula sekolah pada 4 Mac ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, peruntukan tersebut turut disumbangkan kepada golongan miskin yang terkesan dengan bencana banjir yang berlaku pada awal Januari lalu.

“Pelajar daripada keluarga B40 layak menerima bantuan secara ‘one-off’ berjumlah RM200 setiap seorang. Ia merangkumi pembelian baju, kasut dan beg sekolah.

“Sumbangan ini melibatkan 1,000 orang pelajar di sekitar kawasan Sarawak sempena dengan Program Kembali ke Sekolah YBR.

“Melalui sumbangan ini juga diharapkan dapat membantu meringankan beban keluarga dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka bagi sesi pengajaran & pembelajaran (P&P) dalam sesi persekolahan kelak,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Hadir sama dalam majlis ringkas di Pejabat Menteri MEDAC ialah Timbalan Menteri MEDAC, Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Suriani Datuk Ahmad; Pengerusi YBR, Datuk Nazir Hussin Aktar Hussin; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Uda Holdings, Mohd Salem Kailany dan barisan pengurusan tertinggi kementerian serta agensi.

Sumbangan peruntukan tersebut turut melibatkan kerjasama di antara Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat), SME Bank dan Uda Holdings.

Dalam pada itu, beliau berkata, bantuan dalam pelbagai bentuk bernilai RM200 juga diberikan kepada setiap keluarga yang telah dikenal pasti terkesan akibat kemusnahan dan kerosakan harta benda daripada musibah banjir.

Artikel Berkaitan:

“Seramai 500 keluarga mangsa banjir di sekitar kawasan Sarawak yang memerlukan bantuan keperluan asas bagi kelangsungan hidup akan menerima manfaat ini.

“Selain itu, peruntukan sebanyak RM100,000 lagi akan diberikan kepada keluarga mangsa banjir yang terlibat di seluruh negara.

"Diharapkan lebih banyak entiti korporat dan organisasi lain dapat turut sama membantu dalam memberi bantuan-bantuan sebegini. Ini membuktikan syarikat-syarikat korporat turut mengambil berat terhadap mereka yang memerlukan,” katanya.

Pada majlis sama, Pengerusi YBR, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, program bantuan persekolahan dan bantuan banjir tersebut merupakan satu aktiviti kemasyarakatan.

“Ia seiring dengan keprihatinan kerajaan dalam memfokuskan kesejahteraan rakyat serta membantu mereka yang memerlukan khususnya yang ditimpa bencana,” katanya.