Projek berimpak tinggi basmi kemiskinan, fokus jana pertumbuhan di Kelantan

Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Kelantan yang diadakan secara maya pada Isnin.
Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Kelantan yang diadakan secara maya pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bekerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Kelantan untuk melaksanakan pelbagai projek berimpak tinggi dan program pembangunan modal insan bagi menjana pembangunan sosioekonomi di negeri Kelantan.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, ia bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat dan membasmi kemiskinan, selaras dengan agenda nasional.

Menurutnya, Kelantan mencatatkan kadar kemiskinan tertinggi di ECER dan kedua tertinggi di Malaysia serta semakan semula had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negeri Kelantan pada tahun 2020 daripada RM894 kepada RM2,139.

“Ia dijangka meningkatkan jumlah isi rumah yang hidup di dalam kemiskinan dari 18,345 kepada 50,255 manakala keseluruhan 16,712 Orang Asli di Kelantan tergolong dalam golongan miskin tegar.

"Dianggarkan lebih daripada 28,000 orang di Kelantan menganggur dan hampir separuh daripadanya adalah graduan. Inilah sebabnya pewujudan peluang pekerjaan dan keusahawanan tetap menjadi keutamaan kami di Kelantan.

“Walaupun pandemik ini memberi impak kepada matlamat ECERDC dalam jangka masa pendek, kami akan terus melaksanakan projek infrastruktur dan program pembangunan modal insan demi menjamin pertumbuhan jangka panjang negeri Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Kelantan yang diadakan pada Isnin.

Menurutnya, usaha ini menjadi asas yang akan memudahkan tarikan pelaburan lebih besar ke negeri Kelantan, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta keusahawanan untuk rakyat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sektor utama yang dikenal pasti berpotensi untuk mewujudkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang adalah pelancongan.

“Walaupun sempadan masih ditutup kepada pelancong asing, penambah baikan infrastruktur di lokasi pelancongan utama akan meningkatkan daya tahan industri setelah sempadan dibuka kelak di samping menarik kedatangan pelancong domestik.

“Selain itu, ECERDC turut memberi fokus kepada sektor pertanian, terutama industri perikanan, tenusu dan daging yang berpotensi tinggi untuk menjana pembangunan sosioekonomi.

“Teras bagi usaha pembangunan pelancongan di Kelantan adalah dengan penyediaan asas yang akan membolehkan kelangsungan kegiatan sosioekonomi bagi jangka masa panjang untuk rakyat, di samping mengekalkan budaya tempatan,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, projek utama di bawah usaha ini adalah pembangunan semula Kampung Laut sebagai "Kampung Warisan" dan menjadikan pusat pelancongan warisan ikonik dan sebuah destinasi 'mesti dikunjungi' di Kelantan.

Katanya, ECERDC juga menyasarkan menjadikan projek ini sebagai muzium hidup yang bukan sahaja akan meningkatkan aktiviti sosioekonomi melalui pelancongan, malah turut memelihara budaya dan tradisi kampung tempatan.

“ECERDC sedang membangunkan dua buah kompleks komersial baharu berhampiran dengan Masjid Kampung Laut yang berusia 300 tahun iaitu Laman Warisan dan Laman Seni.

“Laman Warisan yang dijangka siap pada Mei 2021 akan mewujudkan peluang perniagaan kepada 11 pengusaha tempatan, manakala Laman Seni yang dijangka siap pada Januari 2022 pula mempamer dan menjual produk tempatan seperti batik, wau dan kraftangan oleh 12 PKS.

“Projek utama lain yang sedang dibangunkan adalah pembangunan Pasar Terapung Pulau Suri. Projek ini dijangka menarik lebih ramai pelancong ke pasar terapung seperti yang terdapat di Thailand dan memberi manfaat kepada peniaga tempatan,” katanya.

Mengulas mengenai pertanian, katanya, antara projek yang akan mendorong aktiviti tambah nilai dan membuka peluang keusahawanan baharu serta mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat adalah Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP).

Katanya, projek ini akan mewujudkan kemudahan bersepadu yang akan membuka peluang bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menghasilkan produk hiliran seperti produk berasaskan ikan bernilai tinggi seperti pemprosesan udang, produk sejuk beku, pengetinan ikan dan penghasilan serta pengeluaran produk berasaskan surimi.

“Bagi terus mendorong perkembangan sektor pertanian, ECERDC bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, pelabur swasta, serta pihak berkepentingan lain untuk membangunkan Lembah Tenusu Kelantan, dengan tujuan mereplikasi kejayaan Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah di Rompin, Pahang,” katanya.

Mengulas mengenai pembangunan modal insan ECERDC, ia dilaksanakan menerusi dua asas yang selari iaitu menangani keperluan semasa bagi penduduk tempatan untuk mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang lebih baik dalam ekonomi yang pantas berubah dan keperluan untuk mencegah kemiskinan di masa hadapan.

“Penekanan diberikan kepada program latihan dengan mengambil kira jangkaan keperluan masa hadapan seperti digitalisasi dan kemahiran Industri 4.0 (IR4.0) demi meningkatkan keboleh pasaran rakyat.

“Bagi menangani impak pandemik Covid-19, ECERDC telah mengembangkan Program Peningkatan Graduan ECER (ETEP) di bawah PENJANA-ECERDC untuk menyokong para pelabur dan rakyat yang terkesan dengan pandemik ini untuk jangka pendek.

“Program ETEP 'Train & Place' menawarkan beberapa kursus teknikal bagi melengkapkan para peserta dengan kemahiran yang diperlukan oleh industri melalui penempatan pekerjaan yang dijamin sebelum latihan bermula.

“ECERDC menyasarkan melatih 5,000 orang di bawah program ini dan sehingga kini, 989 peserta berjaya mendapat penempatan pekerjaan. Peserta selebihnya dijangka melengkapkan program ini menjelang Mei 2021. ECERDC turut membangunkan usahawan menerusi program empower ECER.

“Di bawah program entrepreneur ECER, seramai 4,081 usahawan telah dibantu untuk meningkatkan perniagaan masing-masing melalui peningkatan kualiti pengeluaran, pembungkusan, penjenamaan dan pensijilan.

“Para usahawan ini telah mencipta kira-kira 8,000 pekerjaan untuk penduduk tempatan dalam komuniti mereka,” katanya.