Bapa sedih lihat anak duduki SPM atas kerusi roda

Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan sedih apabila melihat anak yang sebelum ini aktif dan bersemangat akhirnya terpaksa menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan berkerusi roda. - Foto Bernama
Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan sedih apabila melihat anak yang sebelum ini aktif dan bersemangat akhirnya terpaksa menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan berkerusi roda. - Foto Bernama
A
A
A

BESUT - Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan sedih apabila melihat anak yang sebelum ini aktif dan bersemangat akhirnya terpaksa menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan berkerusi roda.

Mohd Syamsu Izani Yaacob, 41, berkata anaknya Saniha mula mengalami gangguan saraf pada Disember tahun lalu, namun dalam pelbagai kekangan Saniha tetap mahu mengambil peperiksaan SPM yang bermula pada Isnin.

Beliau berkata, meskipun tidak dapat menjangka apa yang bermain dalam fikiran Saniha, namun beliau yakin anaknya itu mempunyai kekuatan mental yang luar biasa dan mampu menjawab soalan dengan sebaik mungkin demi masa depannya.

“Anak sulung saya ini mengalami masalah untuk berjalan dengan sempurna dan berdiri lama selepas mendapat rawatan di sebuah hospital di Kuala Terengganu akhir tahun lalu. Keadaan itu berlaku selepas pihak hospital mengambil sampel air tulang belakang untuk mengenal pasti masalah sakit kepala dan kerap pengsan yang dialami Saniha sejak Februari tahun lalu.

“Sebelum itu pihak hospital telah meminta kebenaran saya dan doktor ada memberitahu kemungkinan Saniha akan mengalami kesan sampingan untuk tempoh tertentu. Saniha kini turut mengalami sakit di bahagian leher,” katanya ketika ditemui selepas menghantar anaknya itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bukit Puteri, di sini pagi Isnin.

Mohd Syamsu Izani yang bekerja sebagai pemandu jentolak berkata, beliau terpaksa meminta kebenaran pihak sekolah untuk membawa sendiri anaknya ke dewan peperiksaan sebagai tanda sokongan sebelum menjawab soalan kertas Bahasa Melayu 1 pada pagi ini diikuti Bahasa Melayu 2 pada sebelah petang.

“Sepanjang masa peperiksaan Saniha akan duduk di atas kerusi roda kerana kerusi yang biasa digunakan pelajar agak keras untuk tempoh lama...beliau masih sakit pada bahagian belakang.

“Saya pun tidak pasti sejauh mana Saniha dapat menjawab soalan kerana selama ini Saniha tidak dapat memberi tumpuan kepada pelajaran disebabkan masalah kesihatan yang dialaminya malah sepanjang persekolahan secara bersemuka baru-baru ini pun beliau tidak dapat hadir,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Saniha merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan kedua-dua adiknya Muhammad Hilman, 15, dan Safawati, 13 turut belajar di sekolah yang sama.

Tambah Mohd Syamsu Izani, sebelum ini Saniha bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke universiti dan disebabkan itu beliau bersungguh-sungguh untuk berdepan dengan peperiksaan penting itu meskipun dalam keadaan yang agak terbatas.

Salina adalah salah seorang daripada 86 calon daripada SMK Seri Bukit Seri Bukit Puteri yang menduduki peperiksaan SPM tahun ini. - Bernama