Pulau Pinang teruskan inisiatif saringan massa Covid-19

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang akan meneruskan inisiatif saringan massa Covid-19 membabitkan sektor perkilangan dan pembuatan, kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

“Dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri menerusi sidang video pada Jumaat, saya telah mohon maklum balas lanjut bagi membolehkan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Cawangan Pulau Pinang melaksanakan inisiatif saringan massa membabitkan sektor perkilangan/pembuatan di negeri ini.

“Pada sesi tersebut, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa ia boleh dilaksanakan, namun didapati kurang sesuai dalam tempoh gelombang ketiga ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri akan meneruskan sendiri inisiatif tersebut supaya tindakan pengesanan kontak dan rawatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan terutamanya bagi sektor pembuatan, perkilangan serta pembinaan yang menjadi penyumbang utama kewujudan kes-kes serta kluster di negeri ini.

Mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, beliau berkata, kerajaan negeri memberikan komitmen serta kerjasama penuh kepada kerajaan Persekutuan berhubung pelaksanaannya.

“Saya dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang bahawa bermula minggu depan, Pulau Pinang bakal menerima stok vaksin Covid-19 secara berperingkat dan akan ditempatkan di dua buah hospital.

“Fasa pertama membabitkan barisan hadapan yang dianggarkan melebihi 30,000 orang,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: