Tanam sikap takwa, jujur dalam diri

MOHD DAUD BAKAR
MOHD DAUD BAKAR
A
A
A

SHAH ALAM – Integriti dinisbahkan sebagai sikap jujur, amanah dan amalan moral yang tinggi dalam diri seseorang individu.

Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, nilai integriti bermula dari dalam diri individu, kemudian diterjemahkan kepada sikap dan kelakuan luaran.

Katanya, keutuhan sesebuah organisasi atau negara bergantung kepada nilai integriti yang ada pada individu dalam organisasi dan masyarakat.

“Kurangnya nilai kejujuran dalam diri individu dan masyarakat yang akhirnya boleh memberi kesulitan kepada negara.

“Jangan memandang enteng pada nilai integriti pada sisi seseorang individu kerana individu yang akan menentukan corak sesebuah masyarakat,” katanya pada program Wacana Al-Quran siri ke-90 bertajuk ‘Living up integrity’ yang diadakan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.

Dari kiri: Fazrul bersama Rohani; Mohd Daud dan Ahmad Tirmizi (kanan) semasa program Wacana Al-Quran siri ke-90 bertajuk ‘Living up integrity’ yang diadakan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.
Dari kiri: Fazrul bersama Rohani; Mohd Daud dan Ahmad Tirmizi (kanan) semasa program Wacana Al-Quran siri ke-90 bertajuk ‘Living up integrity’ yang diadakan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.

Program diskusi dalam bahasa Inggeris itu turut menampilkan Pengerusi Yayasan Wakaf Antarabangsa Khadijah (KIWF) yang juga Timbalan Presiden Yayasan Kepimpinan Mawar, Rohani Mohd Shahir.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail sebagai moderator dan qari jemputan, Ahmad Tirmizi Ali yang memperdengarkan surah Al-Ahzab ayat 70 hingga 72.

Artikel Berkaitan:

Mohd Daud yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, kepentingan integriti individu sangat ditekankan dalam Islam.

Katanya, surah al-Ahzab membincangkan dua hal penting yang harus dimiliki Muslim beriman iaitu takwa dan bersikap jujur.

“Ketakwaan mencerminkan ekspresi batin seorang yang beriman, sedangkan berkata jujur merupakan ekspresi zahir daripada keimanan seseorang.

“Surah ini juga memerintahkan umat Islam untuk berlaku jujur kerana sifat jujur bagi seorang Muslim merupakan puncak moral iman dan karakteristik dalam kehidupan mereka.

“Sifat jujur adalah cerminan daripada rasa keimanan. Jika orang beragama tidak ada yang bersikap jujur, nescaya agama tidak akan berdiri dengan tegak dan benar. Orang yang selalu bersikap jujur, akan berani menyatakan kebenaran,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha memupuk nilai integriti dalam masyarakat mesti dilaksanakan seawal usia kanak-kanak.

“Sistem pendidikan kita kena ubah, silibus berkaitan integriti perlu diterapkan sejak prasekolah lagi untuk bentuk nilai murni dan berintegriti dalam diri anak-anak serta diperluaskan di peringkat sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi kelak.

“Apabila mereka sudah diasuh dengan nilai murni dan roh integriti ini disuntik sejak kecil lagi dalam proses pembelajaran dan pengajaran mereka, nescaya ia dapat membentuk generasi berintegriti tinggi,” katanya.