Sekolah bermula 1 Mac ini

Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Radzi Jidin ketika sidang media, hari ini. -Foto Bernama
Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Radzi Jidin ketika sidang media, hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi sesi pembelajaran bersemuka akan dibuka bermula secara berperingkat mulai 1 Mac depan.

Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua akan kembali ke sekolah pada tarikh tersebut.

"Bagi murid sekolah rendah Tahun Tiga, Empat, Lima dan Enam pula akan bermula pada 8 Mac ini," katanya ketika sidang akhbar pembukaan sekolah KPM pada Jumaat.

Menurutnya, pelajar sekolah menengah akan mula kembali ke sekolah pada 4 April bagi Kumpulan A iaitu Johor, Kelantan dan Terengganu.

“Bagi pelajar sekolah menengah Kumpulan B, ia akan bermula pada 5 April,” katanya.

Beliau berkata, Kumpulan B terdiri daripada sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Mengulas lanjut mengenai kelewatan tarikh bagi pelajar sekolah menengah, Mohd Radzi berkata, ia untuk memberi ruang kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menduduki peperiksaan tersebut dalam keadaan tenang dan selamat.

“Oleh yang demikian, KPM mengambil keputusan bahawa semua pelajar sekolah menengah akan kembali semula ke sekolah selepas tamat cuti pertengahan penggal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Peperiksaan SPM akan berakhir pada hujung bulan Mac dan cuti pertengahan penggal adalah antara 26 atau 27 Mac sehingga 3 hingga 4 April.

Menurutnya, pelajar Kolej Vokasional untuk Sijil Vokasional Malaysia Tahun Satu Semester Dua dan Diploma Vokasional Tahun Satu Semester Dua akan memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka pada 1 Mac.

"Bagi sekolah swasta, sekolah bantuan kerajaan dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM, tarikh pembukaannya adalah sama seperti sekolah kerajaan.

“Sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka disaran untuk mengikut tarikh pembukaan sekolah yang ditetapkan dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Tambah beliau, sekolah antarabangsa yang tiada peperiksaan SPM dan peperiksaan kebangsaan, institusi pendidikan swasta termasuk pusat tuisyen boleh memulakan operasi bermula 8 Mac.