Kerajaan tingkat kebolehpasaran produk kenaf

Mohd Khairuddin (tengah) melihat Rumah IBS kenaf yang dibina di Pusat Pemprosesan Fiber Kenaf Gual Mesa di Rantau Panjang.
Mohd Khairuddin (tengah) melihat Rumah IBS kenaf yang dibina di Pusat Pemprosesan Fiber Kenaf Gual Mesa di Rantau Panjang.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Kerajaan menerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) akan terus meningkatkan kebolehpasaran produk dan meneroka pasaran baharu bagi industri hiliran.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, usaha berterusan dilaksanakan supaya permintaan produk bernilai tambah berasaskan kenaf yang bersifat mesra alam sekitar dapat digunakan secara meluas dalam pelbagai industri termasuk pembinaan.

Menurutnya, pada pertengahan 2019 LKTN telah membina sebuah rumah Sistem Binaan Berindustri (IBS) kenaf di Gual Mesa, Rantau Panjang, Kelantan dengan keluasan 61.3 meter persegi dilengkapi tiga bilik tidur, satu ruang dapur, satu ruang tamu dan bilik air dengan nilaian RM55,0000.

"Sistem IBS ini merupakan kaedah baharu dalam sektor pembinaan. Teknologi ini sedang dikembangkan dalam industri pembinaan berasaskan kenaf di Malaysia.

"Sistem ini bukan sahaja dapat mengurangkan kos pembinaan malah turut menjimatkan tenaga kerja, masa dan logistik," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis selepas melawat ke rumah IBS kenaf di Pusat Pemprosesan Fiber Kenaf Gual Mesa di Rantau Panjang.

Beliau berkata, sebanyak lima tan 'core' kenaf digunakan bagi pembinaan sebuah rumah IBS Kenaf dan kementerian itu menggalakkan penggunaan 'core' kenaf dengan kos RM55,000 membabitkan keluasan 61.3 meter persegi.

"LKTN juga bercadang memperluaskan kawasan tanaman kenaf di Rantau Panjang, Kelantan daripada 200 hektar kepada 500 hektar bermula tahun 2021 bagi menggalakkan lagi industri pembinaan rumah mampu milik ini," katanya.

Katanya, kementerian melalui LKTN juga akan menggalakkan pekebun kecil kelapa sawit dan getah untuk menanam tanaman itu ketika proses penanaman semula kelapa sawit dan getah.

Artikel Berkaitan:

"Ini bertujuan memberi pendapatan kepada pekebun kecil semasa menunggu tanaman kelapa sawit dan getah matang serta dapat mengeluarkan hasil.

"Anggaran pendapatan kenaf yang diperoleh pekebun kecil yang mengusahakan tanaman kenaf ialah RM 5,000 sehektar bagi tanaman semusim dengan unjuran hasil sehektar ialah 10 tan batang kenaf kering," katanya.