UMNO akan bertanding semua kerusi di Terengganu

Ahmad Said
Ahmad Said
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said tidak akan memberi peluang kepada Bersatu mahupun Pas, sebaliknya akan bertanding di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Terengganu menegaskan, tidak berlaku sebarang kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) bersama Pas di negeri itu, selain tidak menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) untuk membolehkan parti itu mengalah kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurutnya, satu-satunya kerusi milik Bersatu iaitu Parlimen Hulu Terengganu adalah milik UMNO, sebelum Datuk Rosol Wahid melompat parti menyertai Bersatu.

“Memang UMNO akan bertanding di Parlimen Hulu Terengganu, kenapa kita nak beri kepada dia (Bersatu) sedangkan kerusi itu dimenangi atas tiket UMNO. Kita juga tidak masuk (gabungan) PN,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad menambah, MN juga tidak berlaku di Terengganu dan mendakwa tiada sebarang usaha untuk menjayakan hubungan itu.

“Apa yang Pas buat untuk bersama kita (MN)? Pemberian peruntukan, JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung) pun tidak adil. MN tak berlaku di Terengganu,” katanya.

Luahan Ahmad itu bukanlah pertama kali kerana sebelum ini, ADUN Kijal itu dilihat lantang dalam mengkritik kepimpinan Pas termasuk agihan peruntukan wakil rakyat yang didakwa tidak adil.

Malah, beliau telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan UMNO akan bertanding di semua kerusi Parlimen dan DUN pada PRU15.

Artikel Berkaitan: