Scammer guna gambar Ketua Menteri Melaka minta wang

Tangkap layar scammer yang menggunakan nama dan gambar Ketua Menteri untuk menipu orang ramai.
Tangkap layar scammer yang menggunakan nama dan gambar Ketua Menteri untuk menipu orang ramai.
A
A
A

MELAKA - Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menjadi mangsa scammer apabila nama dan gambar profil aplikasi WhatsApp beliau digunakan individu tidak bertanggungjawab untuk menipu sejumlah wang.

Pejabat Ketua Menteri dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk membuat laporan polis jika mereka yang terlibat tidak menghentikan perbuatan itu.

"Tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja boleh mencemarkan nama baik dan imej Ketua Menteri, bahkan menyebabkan kerugian serta kesusahan kepada pihak yang terpedaya atau menjadi mangsa penipuan," katanya.

Katanya, kerajaan negeri menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak tertipu dengan sebarang penghantaran mesej menerusi WhatsApp atau media sosial lain yang menggunakan identiti seperti Ketua Menteri.

Media sebelum ini melaporkan, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman juga membuat laporan polis pada Rabu selepas identiti mereka digunakan scammer menerusi aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan daripada dua individu terbabit.

Artikel Berkaitan: