PKPD di Felda Triang 3, Bera, Pahang bermula esok

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Triang 3, Bera, Pahang bermula hari ini hingga 3 Mac 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD itu melibatkan Perumahan Kelapa Sawit dan Taman Lamanda Permai di Felda Triang 3 yang merangkumi 1,356 orang penduduk.

"KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) mengesahkan sebanyak sembilan kes positif telah dilaporkan dan sehingga 16 Februari 2021, seramai 79 kontak rapat telah dikenal pasti tinggal di lokaliti ini.

"KKM akan melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk yang terlibat untuk memastikan tiada penularan jangkitan dalam komuniti," katanya dalam kenyataan perkembangan harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Rabu.

Menurutnya, PKPD itu dilaksanakan setelah penilaian risiko dilakukan bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM.

Mengenai jumlah individu yang ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP, Ismail Sabri memaklumkan seramai 594 individu ditahan semalam, dengan 569 daripadanya dikompaun dan 25 individu direman.

Antara kesalahan yang paling banyak dikesan, katanya, ialah rentas daerah serta negeri tanpa kebenaran (127), tiada penjarakan fizikal (144), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (74), tidak memakai pelitup muka (77) dan keluar rumah tanpa alasan munasabah (77).

Pada masa sama, beliau berkata, seramai lima pendatang tanpa izin ditahan dalam Op Benteng di seluruh negara, manakala sebanyak tiga kenderaan darat dirampas.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri turut memaklumkan seramai 8,983 warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 semalam, dengan 37 daripadanya didapati positif Covid-19.

Menurutnya, secara kumulatif, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan, seramai 387,040 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan dengan 7,365 daripadanya disahkan positif Covid-19. - Bernama