X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Awas kebisingan berterusan

Pencemaran bunyi dikategorikan sebagai satu bentuk gangguan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976. - Foto 123RF
A
A
TERDAPAT kalangan kita mengambil kesempatan mengubahsuai rumah tatkala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung.

Kerja pengubahsuaian tersebut menghasilkan bunyi bising yang mengganggu ketenteraman jiran tetangga.

Pencemaran bunyi dikategorikan sebagai satu bentuk gangguan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pencemaran bunyi berada di kedudukan ketiga pencemaran alam sekitar yang paling berbahaya selepas udara dan air.

Namun, bentuk pencemaran ini kurang diberi perhatian kerana tidak boleh dikesan dengan mata kasar.

Pada tahun 2017 sahaja, Jabatan Alam Sekitar menerima 132 aduan berhubung isu pencemaran bunyi menunjukkan tahap kesedaran masyarakat mengenai permasalahan kebisingan yang semakin meningkat.

Pencemaran bunyi memberi kesan negatif kepada manusia secara berbeza bergantung penerimaan seseorang individu.

Bunyi yang kurang daripada 75 desibel (db), kebiasaannya tidak menimbulkan permasalahan terhadap sistem pendengaran, hanya bunyi melebihi 85db berulang kali dalam masa 8 jam sehari dalam tempoh jangka masa panjang berupaya menyebabkan kehilangan pendengaran secara sementara atau kekal.

Kebanyakan individu tidak menyedari mereka mengalami masalah pendengaran kerana ia berlaku secara beransur-ansur tanpa sebarang kesakitan.

Kajian menunjukkan 76 peratus tentera yang berkhidmat pada zaman komunis mengalami masalah pendengaran yang teruk pada usia tua akibat daripada kesan bunyi tembakan, bom, meriam dan pesawat semasa berada di medan perang membuktikan pencemaran bunyi adalah berbahaya.

Kajian juga menunjukkan peningkatan masalah pendengaran kalangan remaja dalam tiga dekad terkini.

Dianggarkan 17 peratus remaja berumur 12 hingga 19 tahun mempunyai ciri-ciri masalah pendengaran (NIHL) yang berpunca daripada aktiviti sukan seperti menembak, mendengar alat pemain lagu (MP3) dengan bunyi kelantangan yang tinggi, bermain dalam kumpulan muzik dan menghadiri konsert secara berterusan.

Gangguan

Tekanan emosi dan gangguan psikologi juga boleh berlaku kepada individu yang mengalami gangguan kebisingan berterusan antaranya hilang kawalan serta gagal berfikir dengan baik seterusnya membawa kemerosotan prestasi.

Bunyi keterlaluan turut mengganggu waktu rehat dan tidur seseorang yang meningkatkan ketegangan saraf dan otot, kegelisahan, mudah tersinggung, cepat marah dan kemurungan yang meningkatkan potensi menghidap penyakit berkaitan kardiovaskular serta darah tinggi.

Malah, bunyi yang kuat boleh memberi kesan negatif lebih ketara kepada kesihatan kanak-kanak.

Lebih 20 kajian melaporkan kesan bunyi bising kepada prestasi akademik kanak-kanak, antaranya terhadap pendengaran, gangguan tidur dan kesan somatik (tekanan darah tinggi dan perubahan hormon disebabkan tekanan).

Kesan lain termasuklah perubahan psikososial yang menyebabkan fungsi kognitif terjejas membabitkan keupayaan membaca, memori jangka panjang, perhatian dan motivasi.

Bagi wanita hamil, pendedahan kepada bunyi bising yang keterlaluan dan getaran boleh menyebabkan peningkatan risiko kehilangan pendengaran pada bayi, kelahiran pramatang dan merencatkan pertumbuhan janin.

Pendedahan bunyi bising kepada bayi pramatang (di unit rawatan rapi neonatal 24 jam) yang mempunyai organ pendengaran dan sistem visual atau sistem saraf yang kurang matang didapati menyebabkan masalah pendengaran serta gangguan tidur yang penting untuk tumbesaran normal mereka.

Pengawalan pencemaran bunyi adalah melalui kaedah perundangan dan kawalan teknikal.

Melalui penguatkuasaan undang-undang, banyak sumber-sumber pencemaran bunyi dapat dikurangkan terutamanya bunyi bising daripada kenderaan bermotor, industri dan sektor pembinaan.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!