MFL teruskan peraturan Liga-M 2020

Ab Ghani
Ab Ghani
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengekalkan peraturan pertukaran lima pemain gantian dan dua kali tempoh rehat (drinks breaks) dalam tempoh 90 minit permainan sebagaimana yang dipraktikkan pada musim Liga Malaysia (Liga-M), 2020 lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, langkah berkenaan dibuat bagi membantu kesemua jurulatih kelab mempersiapkan pasukan masing-masing menjelang sepak mula saingan Liga-M pada 5 Mac depan.

Menurutnya, MFL memahami kekangan yang dihadapi terutamanya terhadap tempoh 19 hari bagi persiapan pasukan sebagaimana program latihan berpusat yang bakal bermula esok (15 Februari) menerusi dua mekanisme iaitu Home dan Camp Quarantine.

Bagaimanapun, katanya, kesemua kelab terutamanya jurulatih diharap memahami situasi yang dihadapi oleh MFL ketika ini khususnya dalam tempoh pandemik Covid-19 di mana keputusan itu dibuat adalah demi kepentingan kelangsungan Liga Malaysia.

“MFL telah menerima dan mendengar keluhan daripada kesemua jurulatih berhubung dengan persiapan Liga-M yang akan berlangsung mulai 5 Mac 2021 ini; namun MFL komited untuk menamatkan kempen liga dengan perlawanan penuh (22 perlawanan) di mana kami tidak mahu mengambil risiko yang akan memberikan kesan kepada penajaan itu sendiri selain langkah mengurangkan perlawanan atau membatalkan kejohanan lain seperti Piala Malaysia atau Challenge Cup jika kalendar Liga-M bermula lebih lambat.

“Justeru, MFL ingin membuat makluman bahawa pindaan khas sementara peraturan permainan bagi musim 2020 akan dikekalkan pada tahun 2021; antaranya menurut Artikel 6: Pindaan Khas Sementara Peraturan Permainan bagi pandemik COVID-19, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah membuat pindaan sementara bagi Peraturan Permainan FIFA IFAB telah meluluskan cadangan pindaan sementara bagi Undang-Undang 3 Pemain-Pemain simpanan.

“(Perkara 6.1.1), penganjur liga mempunyai pilihan sama ada menggunapakai peraturan sementara ini atau sebaliknya (di mana) pekeliling pindaan sementara Undang-Undang 3 membenarkan pertukaran 5 orang pemain dalam satu perlawanan dan setiap pasukan boleh mendaftarkan tujuh hingga sembilan pemain di bangku simpanan selain MFL akan mempraktikkan drinks breaks sebanyak dua kali dalam perlawanan,” katanya.

Dalam masa sama, Ab Ghani turut mengingatkan kesemua pegawai dan pemain Liga-M agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard SOP yang telah ditetapkan selaras dengan saranan daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Artikel Berkaitan:

“Suka diingatkan kepada kesemua pihak yang terlibat agar sentiasa komited dan kekal berdisiplin ketika berada dalam kaedah gelembung untuk SOP Home dan Camp Quarantine.

"Selaras dengan saranan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican, MFL berharap kesemua pihak dapat mematuhi setiap protokol dalam usaha menjaga keharmonian Liga-M daripada sebarang wabak Covid-19.

“Selain itu, saya turut berharap agar kesemua kelab akan terus memberikan sokongan kepada liga tempatan dan saya juga berharap peraturan ini dapat dimanfaatkan oleh kesemua jurulatih,” katanya.