KWSP dalam proses mansuh syarat i-Sinar: Tengku Zafrul

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyatakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam proses memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar.

Menurut beliau, ia berikutan nasihat daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya KWSP menambah baik inisiatif tersebut setelah mengambil kira maklum balas pihak awam.

“Langkah ini diharap dapat membantu ahli-ahli KWSP mengharungi cabaran semasa akibat pandemik Covid-19.

“Pemansuhan syarat bagi kemudahan i-Sinar ini akan membolehkan ahli KWSP yang berumur kurang daripada 55 tahun membuat pengeluaran daripada simpanan akaun satu mereka tertakluk kepada baki yang sedia ada,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Beberapa pemimpin politik daripada kerajaan dan pembangkang juga mendesak kerajaan supaya memudahkan proses pengeluaran simpanan KWSP untuk meringankan bebanan kewangan yang dihadapi rakyat Malaysia ketika pandemik Covid-19.

Pada Disember lalu, KWSP mengumumkan dua kategori yang layak untuk melakukan kemudahan pengeluaran simpanan membabitkan lapan juta ahlinya yang layak melalui skim i-Sinar.

Pada Rabu, Tengku Zafrul memberi jaminan kerajaan akan segera melakukan penambahbaikan terhadap aduan pencarum KWSP.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, bagi ahli yang telah memohon i-Sinar berdasarkan kriteria semasa, permohonan mereka akan diluluskan secara automatik tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, KWSP telah memaklumkan bahawa jumlah pengeluaran dari akaun satu dan jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal.

“Iaitu pertamanya, bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga RM10,000.

“Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000,” katanya.

Keduanya, Tengku Zafrul berkata, bagi ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan akaun satu mereka.

“Bagaimanapun, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000,” katanya.

Beliau berkata, berikutan perubahan yang perlu dilakukan kepada sistem dan proses dalaman i-Sinar Online, KWSP memerlukan masa yang mencukupi untuk melaksanakan pembaharuan ini.

“Pengumuman lanjut akan dibuat dalam masa terdekat oleh KWSP dan kerajaan amat menghargai kesabaran dan pertimbangan ahli sementara perubahan sistem ini dilaksanakan.

“Ahli juga dinasihatkan agar merujuk maklumat sahih daripada KWSP melalui saluran komunikasi rasminya dan sentiasa berwaspada dengan maklumat yang tidak sahih dan bertujuan untuk menipu dan mengelirukan ahli,” tegasnya.