Gerakan sah sertai PN

Dominic Lau
Dominic Lau
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) secara rasmi menganggotai Perikatan Nasional (PN) sebagai parti komponen.

Perkara itu disahkan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai pada Khamis.

"Gerakan secara rasmi menerima surat keanggotaan PN daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi ini (Khamis). Jadi, kini Gerakan merupakan parti komponen dalam PN," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Hasrat Gerakan untuk menyertai PN bukan lagi rahsia sejak parti itu secara terbuka mendedahkannya pada tahun lalu.

Keputusan menyertai PN itu dipersetujui oleh ahli jawatankuasa pusat Gerakan dalam mesyuarat pada Mei tahun lalu.

Sementara itu, mengulas lanjut, Dominic berkata, Gerakan sebagai sebuah parti yang bukan berasaskan perkauman akan terus memainkan peranan memfokuskan prinsip demokrasi di Malaysia.

"Oleh itu kita akan memastikan kebajikan rakyat dan pembangunan sosioekonomi diberi tumpuan," katanya.

Ditanya adakah terdapat sebarang perjanjian mengenai pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, beliau berkata, belum ada sebarang perbincangan dibuat mengenai perkara tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Gerakan kini mahu memberi fokus dalam membantu PN dalam pandemik Covid-19," katanya.

Dominic juga tidak menolak kemungkinan penyertaan Gerakan untuk mengambil bahagian dalam PRU akan datang sambil menyifatkan tidak wujud isu kerusi milik parti tertentu dalam era baharu politik itu.

"Sebelum itu (pembahagian kerusi) kita akan memastikan jentera kita bersiap sedia. Apabila sudah masuk normal baharu, maksudnya tiada kerusi Gerakan atau kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), penting adalah memastikan kemenangan PN diutamakan," katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Dominic berkata, Gerakan percaya pentingnya perpaduan dalam politik dan beliau yakin gabungan baharu itu akan mengutamakan perpaduan dan persefahaman.

Katanya, menerusi beberapa siri perbincangan beliau dengan pemimpin Bersatu dan Pas, apa yang nyata adalah agenda politik mereka berteraskan kebajikan rakyat.

"Saya telah mengarahkan Jawatankuasa Pusat, Badan Perhubungan Negeri dan Bahagian Gerakan untuk menyalurkan segala bentuk kepakaran, gerak keahlian, berjumpa dengan orang ramai dan membantu menyampaikan agenda PN yang berpaksikan ‘demi rakyat’ kepada semua," katanya.