Amir Hamzah dilantik CEO KWSP mulai 1 Mac

 Amir Hamzah Azizan
Amir Hamzah Azizan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilantik sebagai CEO Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang baharu berkuatkuasa pada 1 Mac ini.

Pelantikan itu dibuat bagi menggantikan Tunku Alizakri Alias yang mengetuai KWSP pada Ogos 2018.

Sebelum ini, Tunku Alizakri berdepan kritikan berhubung kenyataannya terhadap pengeluaran wang caruman pekerja.

Amir Hamzah mempunyai 25 tahun pengalaman dalam meneraju beberapa organisasi korporat.

Kerjayanya bermula apabila menyertai Kumpulan Shell dan seterusnya telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif beberapa organisasi korporat antaranya MISC Bhd, Petronas Dagangan Bhd, Petronas Lubricants International, Icon Offshore Bhd dan Themed Attractions Resorts and Hotels Sdn Bhd.

Sementara itu, Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, Tunku Alizakri akan meneruskan sumbangannya terhadap perkhidmatan awam melalui kapasiti yang berbeza.

“Dengan berat hati, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan ucapan selamat maju jaya kepada Tunku Alizakri atas dedikasi dan sumbangan beliau selama tujuh tahun, bermula sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Strategi) dan kemudiannya sebagai CEO KWSP.

“Wawasan serta komitmen Tunku Alizakri kepada semua pihak berkepentingan terutama ahli KWSP boleh dilihat melalui hala tuju KWSP dalam mempertingkatkan kecekapan operasinya melalui pecutan digital, mengguna pakai dasar dan tadbir urus alam sekitar (ESG) dan kelestarian (sustainability) sebagai metrik utama, serta memperkasakan keselamatan sosial dan kesejahteraan bagi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, KWSP turut mengucapkan tahniah kepada Amir Hamzah di atas pelantikan itu.

Katanya, Amir Hamzah akan membantu KWSP di kala mengharungi situasi ketika ini yang sangat kompleks dan mencabar dalam sejarah KWSP.