X

Kindly register in order to view this article
!

Kashmir 'tersepit' selagi tiada pungutan suara

Gambar menunjukkan lokasi kejadian letupan bom ke atas konvoi pasukan polis India di wilayah Kashmir yang dikuasai New Delhi pada tahun 2019. - Foto AFP
A
A

ISU Kashmir yang mempunyai majoriti penduduknya beragama Islam sehingga kini masih lagi menjadi perbalahan antara India dan Pakistan sehingga belum ada penyelesaian muktamad sejak isu tersebut muncul dari tahun 1940an lagi.

Kashmir terletak antara barat laut India dan timur laut Pakistan dan wilayah tersebut pada masa penjajahan Britain tergolong sebagai sebahagian daripada British India.

Apabila India dan Pakistan memperoleh kemerdekaan pada tahun 1947 daripada British, penduduk di Kashmir diberikan peluang sama ada mereka mahu menyertai India atau Pakistan.

Menurut Arab News, di kawasan yang mempunyai majoriti penduduk Muslim, mereka memilih untuk menyertai Pakistan.

Kawasan yang mempunyai majoriti penduduk India pula, mereka memilih untuk menyertai India.

Sebelum kedua-dua negara merdeka dari Britain, wilayah Kashmir yang mempunyai majoriti penduduk Islam diperintah oleh Maharajah Hari Singh dan beliau mendapatkan perlindungan dari India ketika Pakistan cuba menguasainya.

Keadaan itu menyebabkan berlakunya peperangan pertama antara India dengan Pakistan dan berakhir pada tahun 1949 dan kedua-dua negara berkenaan membahagikan wilayah tersebut di sempadan tidak rasmi yang dikenali sebagai Garisan Kawalan (LoC).

Bagaimanapun, pemerintah Kashmir ketika di era British dan India, Maharajah Hari Singh itu mempunyai kecenderungan untuk wilayah tersebut menjadi sebahagian daripada India tetapi sistem pemerintahan beraja itu pada akhirnya dihapuskan pada tahun 1952 oleh Perdana Menteri India yang pertama, Jawarlal Nehru.

India mentadbir negeri Jammu dan Kahsmir yang mempunyai tiga daerah iaitu wilayah Jammu yang mempunyai majoriti penduduk Hindu, Lembah Kashmir pula didiami oleh majoriti penduduk Muslim dan Ladakh dihuni oleh majoriti penduduk beragama Buddha.

Pakistan dan India dilaporkan telah berperang sebanyak tiga kali yang mana dua daripadanya adalah mengenai isu Kashmir.

Pada tahun 2019, satu kejadian serangan bom kereta di wilayah Kashmir yang dikuasai India telah membunuh 40 askar India dan hampir menyebabkan New Delhi dan Islamabad berada dalam ambang peperangan.

India dilaporkan menempatkan askar-askarnya di wilayah Kashmir yang dikuasainya dan berjuang memerangi kumpulan-kumpulan pemberontak sejak tahun 1989 manakala lebih 68,000 orang kebanyakannya orang awam telah terbunuh dalam konflik di wilayah tersebut.

Gambar fail menunjukkan salji melanda Lembah Neelum di Kashmir yang dikuasai oleh Pakistan. - AFP
Gambar fail menunjukkan salji melanda Lembah Neelum di Kashmir yang dikuasai oleh Pakistan. - AFP

Portal berita Byline Times mendakwa Pakistan tidak pernah membunuh penduduk Kashmir dan menanam mayat-mayat mereka dalam kubur-kubur yang besar tetapi India telah membunuh lebih 100,000 orang sejak tahun 1989.

Tahun itu dianggap sebagai kebangkitan penduduk Kashmir sebagai tindak balas terhadap pilihan raya kendalian New Delhi.

Penipuan dianggap berlaku dalam pilihan raya tersebut dan kejadian tembakan ke arah para penunjuk perasaan oleh pasukan keselamatan India memarakkan kemarahan penduduk Kashmir.

Pada tahun 2011 pula, satu suruhanjaya hak asasi manusia yang menyiasat tentang kekejaman India di Kashmir menemui kubur-kubur besar yang mengandungi lebih 2,000 mayat dipercayai mangsa-mangsa kejadian kebangkitan penduduk itu.

India juga memansuhkan status semi autonomi Kahsmir pada Ogos 2019 dan menuduh Pakistan membiayai militia di wilayah tersebut walaupun Pakistan menegaskan ia hanya memberikan sokongan diplomatik kepada kumpulan-kumpulan tersebut.

Justeru pada Jumaat, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan berjanji untuk memberikan hak kemerdekaan kepada penduduk Kashmir jika penduduk di wilayah Himalaya itu mengundi untuk menyertai Pakistan dalam pungutan suara anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sudah lama ditangguhkan untuk dilaksanakan.

Beliau membuat kenyataan itu ketika berucap pada Hari Solidariti Kashmir di bandar Kotli iaitu wilayah Kashmir yang ditadbir oleh Pakistan.

Pada tahun 1948, resolusi Majlis Keselamatan PBB bersetuju mengadakan satu pungutan suara di wilayah tersebut bagi memberikan pilihan kepada penduduk Kashmir sama mahu menyertai Pakistan atau India tetapi sehingga sekarang ia masih belum dapat dilaksanakan.

Bagaimanapun, pungutan suara itu tidak memberikan hak-hak kemerdekaan kepada Kashmir.

Menurut portal berita Dawn, Perdana Menteri Pakistan itu sekali gus mengingatkan dunia bahawa masalah Kashmir itu mempunyai kaitan dengan isu pemerintahan sendiri dan bukan hanya mengenai perbalahan mengenai tanah antara kedua-dua buah negara yang berjiran. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!