Kantoi curi masuk rumah tiada penghuni

Nor Azmi menunjukkan barang dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam, di sini.
Nor Azmi menunjukkan barang dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam, di sini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kegiatan dua beradik yang menjadikan sebuah rumah jarang diduduki sebagai tempat bermalam akhirnya dicekup dalam serbuan di Kampung Tebuk Haji Sidek, di sini, 6 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, kegiatan curi masuk dilakukan dua beradik berusia 27 dan 37 tahun itu terbongkar apabila cucu penghuni rumah terbabit mendapati terdapat individu tidak dikenali berada dalam rumah berkenaan.

Menurutnya, cucu penghuni dan keluarganya yang tiba di rumah itu pada jam 11 pagi mengesyaki sesuatu mencurigakan di rumah itu kemudiannya menghubungi polis memaklumkan kejadian tersebut.

"Sepasukan anggota polis bersama Unit Anggota Peronda (MPV) yang tiba di rumah terbabit menahan dua suspek untuk membantu siasatan lanjut," katanya.

Nor Azmi berkata, polis yang menahan dua suspek lelaki berasal dari Sekinchan yang menginap di rumah itu selama tiga hari itu turut merampas pelbagai barang termasuk pakaian yang dipakai kedua suspek di rumah berkenaan.

"Sebanyak 20 barang dirampas iaitu monopod, pembesar suara, radio kecil, dua telefon bimbit, cincin silver, beg kecil, e-kamus dan bekalan kuasa mudah alih (powerbank).

"Selain itu, kita turut menjumpai pemacu pena (pendrive), kad pelajar, jam tangan, rantai tangan, paip tembakau, beg kecil, baju, seluar panjang dan baju T," katanya.

Katanya, hasil semakan polis mendapati, suspek adik dan abang yang diberkas itu masing-masing memiliki tiga dan sembilan rekod lampau.

Artikel Berkaitan:

"Polis menahan reman suspek selama tujuh hari bermula dari 6 hingga esok untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.