KPDNHEP keluar kompaun RM6,550 kepada peniaga

KPDNHEP mengedarkan risalah SHMMP kepada pengguna dalam pemeriksaan dilakukan di sebuah premis di Seremban.
KPDNHEP mengedarkan risalah SHMMP kepada pengguna dalam pemeriksaan dilakukan di sebuah premis di Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak RM6,550 kompaun dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan bulan lalu.

Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, kompaun berkenaan melibatkan 68 kes dengan nilai rampasan keseluruhan RM5,659.80.

Beliau berkata, 25 kes tindakan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat1972 (23), Akta Perlindungan Pengguna 1999 (8), Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perihal Dagangan 2011 masing-masing (6).

"Dalam tempoh 1 Januari sehingga 31 Januari lalu juga kita memeriksa 4,914 buah premis di Seremban, Port Dickson dan Kuala Pilah," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, berdasarkan statistik, sebanyak 62 aduan diterima dalam tempoh itu dengan aduan tertinggi melibatkan transaksi dalam talian iaitu (22 kes), harga (14 kes) dan perkhidmatan mengelirukan (12 kes).

Selain itu katanya, sepanjang tempoh Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina yang bermula 8 hingga 16 Februari ini, pihaknya akan meningkatkan keberadaan di tempat terpilih yang menjadi tumpuan orang ramai melalui tindakan 'omnipresence'.

"Kita akan menempatkan seramai 105 anggota penguat kuasa bersama 30 orang pegawai pemantau harga di lokasi perniagaan tumpuan orang ramai bagi mewujudkan ruang persekitaran perniagaan yang selamat dan beretika melalui kehadiran pegawai penguat kuasa," katanya.

Tambah Ain Arjuna, peniaga dinasihatkan mematuhi arahan yang ditetapkan dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, pengguna pula perlu mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak mereka kerana skim berkenaan akan berjaya sekiranya semua pihak bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing.

Sementara itu, katanya, terdapat 16 jenis barangan bagi pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2021 ditetapkan KPDNHEP antaranya ayam, telur ayam, sayuran, hasil laut dan daging babi.