Restoran terpaksa bergelut saingan gerai tepi jalan

Pelanggan merasakan lebih mudah membeli di gerai kecil. Gambar hiasan.
Pelanggan merasakan lebih mudah membeli di gerai kecil. Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Peniaga restoran di negara ini terpaksa bergelut dengan saingan gerai-gerai kecil tepi jalan untuk memastikan mereka tidak muflis atau gulung tikar ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 masih berkuatkuasa.

Pengerusi Inspirasi Muhibah India Muslim Malaysia (IMIM), Sabarudin Abdul Rahman berkata, gerai tepi jalan yang semakin banyak mendatangkan kegelisahan kepada peniaga restoran yang sebelum ini pendapatan mereka merudum hingga cecah 80 peratus.

Menurutnya, situasi tersebut bagaikan jatuh ditimpa tangga apabila peniaga terpaksa membayar gaji pekerja, sewa bangunan dan kos perbelanjaan lain.

“Disebabkan prosedur operasi standard (SOP) PKP tidak membenarkan orang ramai duduk dan makan di restoran, pelanggan lebih suka membeli makanan dan minuman di tepi jalan.

"Pelanggan merasakan lebih mudah membeli di gerai kecil kerana tidak perlu menyemak suhu, mengimbas My Sejahtera atau menulis nama dalam buku," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Selain itu, katanya, peniaga gerai tepi jalan juga tidak perlu menjalani ujian saringan, suntikan kesihatan, pemeriksaan kebersihan yang diwajibkan seperti di restoran.

“Membuka gerai makanan tepi jalan adalah perkara biasa tetapi sekarang melebihi daripada permintaan di mana ada gerai tepi jalan dengan selamba membuka di hadapan restoran yang sedia ada.

“Kadangkala warga asing juga mengambil peluang meniaga gerai tepi jalan disebabkan penguatkuasaan yang longgar ketika musim Covid-19,” katanya.

Artikel Berkaitan: