Sesi persekolahan bersemuka calon SPM, SVM tamat 9 Februari ini

Surat yang dikeluarkan ditandatangani Dr Habibah. Surat pekeliling bertarikh 4 Februari lalu yang dihantar kepada semua Ketua Bahagian dan Pengarah Pendidikan Negeri di bawah KPM.
Surat yang dikeluarkan ditandatangani Dr Habibah. Surat pekeliling bertarikh 4 Februari lalu yang dihantar kepada semua Ketua Bahagian dan Pengarah Pendidikan Negeri di bawah KPM.
A
A
A

SHAH ALAM - Sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua 423,758 calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) tahun 2020 akan tamat pada 9 Februari ini.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim dalam satu surat pekeliling bertarikh 4 Februari lalu yang ditujukan kepada semua Ketua Bahagian dan Pengarah Pendidikan Negeri di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"KPM ingin memaklumkan bahawa sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon peperiksaan SPM dan SVM tahun 2020 akan berakhir pada 9 Februari 2021.

"Ini adalah bagi memberi ruang kepada murid untuk membuat persediaan kendiri sebelum peperiksaan bermula pada 22 Februari 2021," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Habibah berkata, bagi pelajar yang tinggal di asrama sekolah, mereka perlu kekal berada di asrama.

Bagaimanapun, katanya, pelajar yang ingin menyambut perayaan Tahun Baharu Cina bersama keluarga, dibenarkan pulang selepas sesi persekolahan pada 9 Februari nanti.

"Namun, kebenaran ini tertakluk kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa," katanya.

Dr Habibah menjelaskan, pelajar yang kembali ke asrama selepas perayaan Tahun Baharu Cina akan diasingkan selama 10 hari di asrama dan mereka akan mengambil peperiksaan di bilik khas dalam tempoh tersebut.

Artikel Berkaitan:

Tegas beliau, sekiranya pelajar ingin kekal berada di rumah, mereka dibenarkan untuk menduduki peperiksaan sebagai calon menumpang di pusat peperiksaan yang berhampiran di mana ibu bapa perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah selewat-lewatnya pada 9 Februari ini.

"Pihak sekolah hendaklah memaklumkan perkara tersebut kepada Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Negeri untuk tindakan lanjut.

"Ini bagi membolehkan urusan peperiksaan pelajar dapat dilaksanakan dengan lancar," katanya.

Dalam pada itu, Dr Habibah berkata, sekiranya terdapat keperluan dan dipersetujui ibu bapa atau penjaga dan guru, pihak sekolah dibenarkan untuk mengadakan kelas tambahan sebagai persediaan pelajar sehingga tamat peperiksaan.

Katanya, pihak sekolah perlu sentiasa mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan Covid-19 dalam kalangan warga sekolah.

Berdasarkan maklumat dikeluarkan KPM, calon yang akan menduduki SPM adalah seramai 400,446 manakala SVM pula melibatkan seramai 23,313 calon.

Pada November lalu, Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan SPM dan SVM ditunda ke tahun ini ekoram keadaan jangkitan Covid-19 yang semakin tinggi.

Turut dipinda tarikh peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).