Lantikan MPKK: 'Kerajaan Pahang, jangan tamak'

Wan Fauzuldin Wan Samad
Wan Fauzuldin Wan Samad
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang tidak boleh terlalu tamak dalam pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kerana peruntukan bagi membiayai jawatan itu diberikan kerajaan Pusat.

Naib Ketua Cabang PKR Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad berkata, seharusnya lantikan terbabit diberikan secara seimbang bagi membolehkan kedua-dua pihak iaitu wakil dari kerajaan negeri dan Pusat mendapat tempat dalam MPKK.

Tegasnya, ini kerana kerajaan Pusat melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar memberi sebahagian peruntukan untuk MPKK, justeru wajar dipertimbangkan secara serius oleh kerajaan negeri berhubung lantikan berkenaan.

“Apakah satu kerugian besar sekiranya jawatan MPKK itu diagihkan sama rata kepada wakil dari parti-parti PH? Jika kerajaan negeri menganggap satu kerugian besar dari segi kepentingan politik Umno atau BN jika berbuat demikian.

“Adakah mereka tidak terfikir bahawa satu kerugian besar juga dari segi politik kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan tersebut? Tetapi mengapa kerajaan Pusat sanggup berbuat demikian dan kerajaan negeri enggan melakukannya?,” katanya kepada Sinar Harian.

Wan Fauzuldin menjelasnya, perbincangan berkaitan perkara ini telah berkali-kali diadakan selepas PH mengambil alih Putrajaya.

Jelasnya, perbincangan bukan sahaja telah diadakan di peringkat negeri oleh PH Pahang bersama kerajaan negeri, tetapi juga telah dibawa ke pejabat Menteri bahkan ke pejabat Persaba Menteri.

“Malangnya, kedegilan kerajaan negeri untuk bertolak ansur di dalam perkara ini menjadikan seolah-olah kerajaan Pusat sahaja yang bersungguh-sungguh untuk melakukan kebaikan demi rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, saya berharap Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun tidak boleh memekakkan telinga atau membutakan mata di dalam perkara ini.

“Jika beliau benar-benar mahu melakukan reformasi dan tidak terikut-ikut dengan dasar kerajaan lama, beliau harus melakukan sesuatu dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Selain itu, beliau mencadangkan perbincangan secara serius di antara kementerian dengan kerajaan negeri mesti diadakan segera.