Semak-imbang, perkasa institusi rakyat

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

DATA terbaharu dari Transparency International Corruption Index menunjukkan kejatuhan kedudukan Malaysia sebanyak enam anak tangga dari tahun sebelum ini.

Secara sekilas pandang, enam mungkin tidak kelihatan seperti jumlah yang besar namun kemerosotan itu merupakan satu masalah besar dalam usaha kita melawan rasuah.

Kekurangan ketelusan dalam pengurusan pentadbiran negara dan peningkatan jumlah kes berprofil tinggi yang dilepaskan tanpa dibebaskan di mahkamah telah mencalar imej Malaysia di mata dunia dan menyusutkan keyakinan pelabur luar untuk melabur ke dalam negara.

Kita tidak boleh hanya berdiam diri dan sekadar berharap perubahan datang atas angin. Langkah proaktif harus dijalankan.

Saya sangat bersetuju dan menyokong inisiatif yang diambil oleh Datuk Dr Hussamuddin Yaacub bersama Gerakan Sinar Rasuah Busters untuk memastikan setiap rakyat Malaysia disertakan dalam usaha melawan rasuah.

Namun, beban tugas untuk menjaga kepentingan awam seharusnya dipikul kerajaan hari ini.

Melawan rasuah merupakan sebahagian daripada tugas itu dan tidak sepatutnya dipandang ringan tanpa mengira siapa yang memegang tampuk pemerintahan.

Sewaktu era Pakatan Harapan (PH), beberapa langkah telah diambil untuk mengurangkan rasuah dalam kalangan ahli politik.

Artikel Berkaitan:

Antara langkah itu ialah semua menteri dan pegawai menteri perlu mengisytiharkan aset mereka, semua ahli politik perlu mengisytiharkan apa-apa dan semua hadiah yang diterima dengan nilai melebih RM500.

Selain itu, 95 peratus projek di bawah seliaan kerajaan perlu diberikan dengan cara tender terbuka dan pemerkasaan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC).

Tapi secara jujurnya, walaupun semua usaha itu merupakan perubahan hebat, ia masih tidak mencukupi. Negara kita layak mendapatkan lebih.

Perkukuh institusi rakyat

Untuk kita memperkukuhkan institusi rakyat, empat langkah utama perlu diambil.

Pertama, Akta Pendanaan Politik perlu digubal dengan segera. Semasa saya menjalankan tugas sebagai menteri di bawah PH, saya telah dipertanggungjawabkan untuk memimpin usaha itu.

Namun sayangnya, Langkah Sheraton terjadi dan segala usaha untuk membentang rang undang-undang itu diketepikan.

Akta ini sangat penting bagi memastikan ahli-ahli politik mempunyai garis panduan dalam mencari dana.

Hari ini, semua ahli politik beroperasi dalam satu perimeter kelabu.

Ketiadaan garis panduan jelas membawa kepada penyalahgunaan kuasa dan permainan kontrak bagi mendapatkan dana lebih.

Kedua, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diperkasakan dan diberi kuasa bebas daripada cengkaman politik.

Pentadbiran SPRM hari ini terletak di bawah Pejabat Perdana Menteri (PMO) mendatangkan tekanan kepada SPRM untuk jalankan tugas mengikut kehendak kerajaan dan bukannya melawan rasuah secara bebas.

Sekiranya kita inginkan masyarakat yang bebas rasuah, SPRM tidak boleh lagi beroperasi di bawah PMO dan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu dibuat di bawah kelolaan seluruh Parlimen.

Pada September 2020, kerajaan bersetuju bahawa pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu mendapatkan mandat dua pertiga ahli Parlimen.

Besar harapan saya untuk melihat persetujuan itu direalisasikan.

SPRM juga perlu diberikan peruntukan sendiri untuk beroperasi sepertimana yang telah diberikan kepada sistem perundangan negara.

Perkara ini adalah untuk memastikan keteguhan fungsi SPRM agar ianya tidak tergugat apabila diugut dengan tekanan kewangan dan juga memastikan SPRM dapat menambah tenaga kerja apabila perlu.

Ketiga, pengawasan Parlimen perlu diperkukuhkan. Parlimen perlu memainkan peranan semak-imbang yang lebih besar dan perlu diberikan kuasa pengawasan untuk menyiasat sebarang isu yang melibatkan kerajaan.

Parlimen seharusnya menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat penyalahgunaan kuasa dan perlu diberi kuasa untuk memanggil mana-mana saksi yang berkaitan dengan kes tanpa mengira kedudukan saksi tersebut termasuklah Perdana Menteri sendiri.

Keempat, kebebasan media perlu dibenarkan. Tindakan kotor untuk menyekat dan mengugut media perlu dihentikan.

Kebebasan media merupakan pemangkin dalam memastikan ahli-ahli politik bertindak dengan lebih berhati-hati.

Media seharusnya menjalankan peranan penting dalam sistem semak-imbang negara.

Sekiranya media diberi kebebasan bersuara, Malaysia akan menikmati pelbagai manfaat. Lihat sahaja apabila The Star mendedahkan isu perdagangan manusia di Wang Kelian dan apabila Sinar Harian menceritakan tentang kartel daging haram.

Kejadian-kejadian ini membuktikan media perlu diberi kebebasan untuk melaporkan siasatan tanpa rasa takut.

Tapi saya sedar bahawa usaha melawan rasuah tidak akan berbuah dengan hanya memperkukuhkan institusi rakyat.

Ini membawa saya ke cadangan polisi yang kedua iaitu menghapuskan pemusatan kuasa.

Perbincangan untuk menghapuskan pemusatan kuasa bukanlah satu perkara baharu.

Saya cadangkan tiga langkah utama iaitu pertama, peruntukan Parlimen perlu diberikan kepada semua ahli Parlimen secara saksama.

Isu ini merupakan racun dalam sistem Parlimen negara kita.

Tindakan kerajaan menarik balik peruntukan ahli Parlimen pembangkang merumitkan sistem demokrasi negara.

Ramai ahli Parlimen risau sekiranya mereka bertindak melawan kerajaan, peruntukan mereka akan ditarik.

Hal ini juga telah mengganggu gugat sistem semak-imbang negara.

Ahli Parlimen sering dilihat melompat dari satu parti ke parti yang lain dengan alasan menjaga kebajikan rakyat kawasan mereka.

Ada juga ahli Parlimen terpaksa ambil keuntungan daripada kontrak bagi mendapatkan dana untuk kawasan.

Sekiranya dana diberikan kepada semua ahli Parlimen secara saksama, alasan ini tidak lagi boleh dipakai dan rakyat akan mendapat manfaatnya.

Ketiga, meletakkan had penggal ke atas jawatan Perdana Menteri. Perdana Menteri Malaysia merupakan satu kedudukan yang sangat berkuasa dan kini hampir setiap bulan, rakyat Malaysia perlu menyaksikan perebutan takhta Perdana Menteri oleh beberapa orang ahli politik.

Langkah meletakkan had penggal ke atas jawatan Perdana Menteri akan mengurangkan salah guna kuasa oleh Perdana Menteri. Sesiapa sahaja yang memegang jawatan Perdana Menteri akan sedar bahawa jawatan itu tidak mutlak dan mereka akan dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku sebarang penyalahgunaan kuasa.

Menghapuskan dana khas bagi Perdana Menteri

Di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, Kabinet telah memberikan dana khas Perdana Menteri yang sangat tinggi dan Perdana Menteri diberikan kuasa penuh untuk menggunakan dana tersebut atas budi bicaranya sendiri. Dana ini telah disemak semula dan dipinda di bawah PH.

Namun kini, dana khas yang menggunung tinggi ini telah dipulangkan kembali kepada Perdana Menteri sebanyak RM1 bilion.

RM1 bilion ini merupakan duit rakyat yang boleh digunakan oleh Perdana Menteri tanpa sebarang pengawasan. Kuasa yang terlalu besar ini perlu ditarik semula.

Tidak ada sesiapa pun yang boleh dibenarkan menggunakan duit rakyat tanpa sebarang semak-imbang, termasuklah Perdana Menteri sendiri.

Dalam usaha kita melawan rasuah, lebih banyak lapisan semak-imbang perlu diperkenalkan dan rakyat perlu diperkasakan melangkaui sekadar menjadi mata dan telinga pihak berkuasa.

Kuasa penguatkuasaan yang bebas daripada cengkaman politik perlu dipulangkan semula kepada institusi-institusi rakyat.