Polis sedang lengkapkan siasatan kes kematian adik Amir

Mohd Sukri
Mohd Sukri
A
A
A

MELAKA - Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kematian kanak-kanak berusia tujuh tahun yang dipercayai didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, di sini Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, siasatan lanjut sedang dilakukan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.

“Setakat ini kita masih dalam proses melengkapkan siasatan. Perkembangannya masih lagi sama, laporan kimia spesimen yang pihak hospital ambil semasa bedah siasat pun kita sedang tunggu,” katanya di sini pada Selasa.

Terdahulu, media melaporkan Mohd Sukri mengesahkan terdapat pelbagai kecederaan termasuk luka baharu di kesan di bahagian belakang kepala kanak-kanak itu selepas proses bedah siasat dijalankan kira-kira 11 jam pada Ahad lalu.

Pasangan suami isteri iaitu ibu kandung dan bapa tiri mangsa yang masing-masing berusia 32 dan 38 tahun juga direman tujuh hari sehingga Khamis ini.

Ketika ditanya mengenai barang bukti termasuk senjata yang digunakan suspek terhadap mangsa dan tanda tanya siapakah suspek utama kes berkenaan, Mohd Sukri berkata, perkara itu masih belum dapat dimaklumkan dan dalam siasatan.

“Tunggu sahajalah, berilah ruang kami menjalankan siasatan dengan lebih lanjut,” katanya.

Pada Isnin, jenazah kanak-kanak itu selamat disemadikan kira-kira jam 12.40 tengah hari di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Jasin berhampiran kediaman keluarga ibu kandungnya.

Artikel Berkaitan:

Jenazah yang dituntut oleh waris keluarga ibu kandung di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka telah di bawa ke Madrasah As Syakirin untuk dimandikan dan disembahyangkan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan itu.