Perlu proaktif pulihara bangunan bersejarah

Monumen bersejarah ini penting untuk dikekalkan sebagai rujukan kerana ia adalah bukti kukuh kepada sesuatu peristiwa atau era yang pernah berlaku dahulu.
Monumen bersejarah ini penting untuk dikekalkan sebagai rujukan kerana ia adalah bukti kukuh kepada sesuatu peristiwa atau era yang pernah berlaku dahulu.
A
A
A

SETIAP negara mempunyai bangunan bersejarah yang memiliki keunikan tersendiri.

Bangunan atau monumen bersejarah selain pembacaan kisah tokoh sejarah baik politik, ekonomi dan sosial disifatkan antara elemen penting dalam pembentukan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat terutama generasi muda.

Monumen bersejarah ini penting untuk dikekalkan sebagai rujukan kerana ia adalah bukti kukuh kepada sesuatu peristiwa atau era yang pernah berlaku dahulu.

Secara psikologinya monumen ini dapat menjadi pengisian dalam pembentukan jati diri generasi muda tidak hanya mengenai pengorbanan generasi terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan negara sebelum ini tetapi juga pembinaan ketamadunan bangsa Malaysia.

Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat - Monumen merujuk kepada bangunan yang dibina untuk memperingati seseorang atau peristiwa penting.

Malaysia memiliki banyak monumen mengikut era yang mempunyai tidak hanya mempunyai nilai komersial memacu industri pelancongan tetapi juga menyuntik semangat patriotisme.

Dari utara, Stesen Keretapi Padang Besar (Perlis); Masjid Zahir, Lembah Bujang (Kedah); Kota Cornwallis, Penang Free School, Rumah P. Ramlee, Muzium Perang (Pulau Pinang); Istana Iskandariah, Istana Kellie's, Menara Jam Condong Teluk Intan (Perak).

Di tengah pula, Bukit Malawati, Jambatan Kota, Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Istana Alam Shah manakala ibu kota Kuala Lumpur pula dengan bangunan Abdul Samad, Stadium Merdeka, Stesen Keretapi Kuala Lumpur, Carcosa Seri Negara, Tugu Negara.

Artikel Berkaitan:

Rantaian selatan pula tidak kurang hebat dengan Istana Lama Seri Menanti, Teratak Za’aba, Muzium Tentera Darat (Negeri Sembilan); Kota A Famosa, bangunan Stadthyus, Gereja St Paul (Melaka); Masjid Sultan Abu Bakar, bangunan Sultan Ibrahim, Muzium Sultan Abu Bakar dan Balai Polis Bukit Kepong (Johor).

Jajaran pantai timur pula ada Jambatan Gantung Sungai Lembing (Pahang); Pintu Kota Istana Balai Besar (Kelantan); Masjid Abidin (Masjid Putih), Batu Bersurat Padang Tara (Terengganu).

Untuk generasi gajet terus mengikuti kisah sejarah monumen tidak menjadi sebarang masalah dengan kecanggihan teknologi telekomunikasi pada masa kini melalui platform WhatsApp, Telegram, Tik Tok dan sebagainya.

Namun, cabaran sebenar adalah untuk mengekalkan monumen ini untuk terus menjadi tatapan generasi masa depan.

Antaranya cabaran kewangan yang menyaksikan beberapa kawasan bersejarah berada dalam wilayah segitiga ekonomi yang mempunyai pasaran hartanah tinggi.

Selain itu, kurangnya tenaga pakar dalam kalangan rakyat tempatan bidang pemuliharaan baik bangunan bersejarah ini juga secara tidak langsung menjadikan sesuatu kerja pembaikan mengambil tempoh masa yang panjang.

Faktor kurangnya kesedaran dalam kalangan segelintir anggota masyarakat khasnya terhadap nilai sentimental sesebuah monumen juga mengundang kepada berlakunya vandalisme terhadap produk sejarah lalu ini.

Pada Ahad, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menerusi Facebook rasmi Selangor Royal Office supaya semua pihak bertanggungjawab memperhebatkan usaha berkaitan pemuliharaan dan pemeliharaan monumen bersejarah berkaitan negeri itu terutamanya di Kuala Lumpur.

Sultan Sharafuddin bimbang sekiranya bangunan bersejarah itu tidak dipulihara segera serta terbiar berkemungkinan monumen itu akan runtuh atau rosak sehingga tidak boleh diselamatkan lagi.

Kesimpulannya, usaha pemuliharaan dan pemeliharaan monumen bersejarah ini memerlukan sokongan padu secara konsisten tidak hanya dalam kalangan rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi juga komitmen sektor korporat dan kerajaan negara ini.

Paling penting cara berfikir setiap anggota masyarakat juga perlu berubah dengan tidak menganggap monumen lama sebagai barangan lama sebaliknya sebagai sesuatu yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

* Zuraimee Zainal ialah Penyunting Sinar Harian