Tiga lelaki ditahan ingkar PKP, bersantai di kolam renang

Video tiga lelaki yang tular selepas ditegur pengawal keselamatan kerana bersantai di kolam renang sebuah kondominium di Bukit Mertajam pada petang Ahad.
Video tiga lelaki yang tular selepas ditegur pengawal keselamatan kerana bersantai di kolam renang sebuah kondominium di Bukit Mertajam pada petang Ahad.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM-Tiga lelaki ditahan polis selepas mereka dikesan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bersantai di kolam renang di sebuah kondominium, di sini petang Ahad.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, salah seorang daripada mereka dikatakan mencabar pengawal keselamatan supaya melaporkan aktiviti mereka kepada polis selepas ditegur supaya tidak berada di dalam kawasan kolam renang kerana ia adalah satu aktiviti dilarang dalam tempoh PKP.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pihaknya menerima laporan dibuat seorang pengawal keselamatan berkenaan berhubung insiden itu pada 2.40 petang Isnin.

"Daripada maklumat yang diterima, polis menahan lelaki terbabit berusia 41 tahun bersama dua rakannya berusia 20 dan 22 tahun untuk siasatan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 16 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

"Semakan mendapati lelaki berusia 41 tahun itu mempunyai rekod jenayah berkaitan kes komersial, manakala dua lelaki lain tidak mempunyai rekod jenayah," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Terdahulu, video berhubung kejadian itu tular di aplikasi WhatsApp yang memaparkan kedegilan lelaki berkenaan bersama dua rakannya walaupun ditegur dengan baik.

Video berdurasi 44 saat memaparkan lelaki terbabit mencabar pengawal keselamatan itu melaporkan perbuatannya kepada pihak polis selain memaklumkan alamat rumah penginapan.

Artikel Berkaitan: