Gagasan membangun nilai: Dari rakyat demi rakyat

Hussamuddin mengakui proses memerangi rasuah akan mengambil masa tetapi ia perlu bermula dari sekarang.
Hussamuddin mengakui proses memerangi rasuah akan mengambil masa tetapi ia perlu bermula dari sekarang.
A
A
A

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua,

Saya menulis surat ini kepada semua peringkat rakyat dan pemimpin yang cintakan negara ini untuk mengecilkan perbezaan yang kita ada, membesarkan persamaan dan melakukan National Reformation dan National Reconciliation bagi memohon bantuan daripada Tuhan untuk mensejahterakan kembali negara ini.

Kita perlu menerima hakikat bahawa segala musibah yang melanda adalah isyarat bahawa kita perlu solusi daripada Tuhan untuk keluar daripada kemelut kehancuran ini untuk amankan manusia dan damaikan alam.

Tuhan sedang berbicara dengan kita, lihatlah dengan hati yang hidup.

KITA ADA MASALAH BESAR

Kita harus akui yang kita sedang bergelut dengan masalah besar yang tidak pernah kita lalui sebelum ini; isu pandemik Covid-19, ekonomi, kelaparan, pereputan moral, perebutan kuasa, negara dalam keadaan berpecah-belah terutama dalam kalangan orang Melayu yang menjadi majoriti di negara ini, tipu menipu, lenyapnya kepercayaan dalam kalangan rakyat kepada pemimpin, salah guna kuasa, masalah air, penjarahan harta dan alam oleh tangan-tangan yang rakus, banjir dan masalah yang timpa menimpa sehinggakan situasi semakin gawat, semua formula dan strategi pelaksanaan yang tidak menjadi.

Dalam suasana wabak dan ekonomi yang mencabar, kita turut berhadapan dengan soal integriti dan rasuah. Kita melihat dakwaan terhadap salah laku penjawat awam terutama mereka yang terlibat dengan urusan penguatkuasaan undang-undang dan menjaga kepentingan serta keselamatan negara.

Artikel Berkaitan:

Penahanan mereka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berserta pelbagai barang berharga membuktikan bahawa mereka sanggup menggadaikan maruah dan amanah yang dipertanggungjawabkan untuk memenuhi kerakusan nafsu duniawi.

Apa lebih yang menggerunkan ialah apabila gejala rasuah yang dilakukan ini dikaitkan pula dengan masalah kemasukan pendatang asing, aktiviti scam, penyeludupan dadah, pemerdagangan orang, jenayah kekerasan dan sebagainya.

Apa yang berlaku ini adalah selari dengan perakuan berulang kali Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bahawa rasuah mempunyai hubungan dengan pelbagai bentuk ketidakstabilan, keganasan dan ekstremisme.

Kita telah 63 tahun merdeka, keadaan mula mereput dan merosak. Ramai yang sudah cuba mengurus tetapi keadaan semakin parah, malah seperti tiada kesudahan. Peluang telah diberikan tetapi kita tetap gagal.

Pada masa yang sama, dunia juga dalam keadaan tidak stabil, Amerika dan dunia besar, runtuh. Hospital overwhelmed, kematian meningkat, jurang miskin dan kaya semakin melebar. Kuasa besar tiada solusi ke atas masalah yang melanda dunia. Apa sebenarnya signal pada semua yang sedang berlaku saat ini?

DI MANA SILAP KITA?

Malaysia adalah sebuah negara unik di mana kita pernah hidup aman makmur dengan kepelbagaian dan kerencaman yang kita ada. Kita saling hormat-menghormati. Cina, India, Melayu, Kadazan hidup rukun damai dalam negara yang Islam adalah agama rasminya dan lima Rukun Negara dijiwai oleh rakyatnya.

Namun, semua ini semakin terhakis. Kita mula mempersoalkan hak sesama, membina jurang dan saling melabel, membawa tribe masing-masing sehingga hubungan kita menjadi sangat rapuh, lalu ketika kita diuji dengan pelbagai cabaran besar, kita tidak siap untuk mendepaninya secara objektif dan solid. Dalam keadaan kritikal pun kita masih rakus inginkan kuasa.

Kita harus revisit cara kita beragama. Kita asyik bergaduh sesama sendiri dan tidak mengamalkan ajaran daripada al-Quran dan as Sunnah. Nilai dan internal operating system (IOS) kita apakah telah benar-benar mengikut panduan daripada al-Quran sehingga karakter kita tidak melambangkan kejernihan hati oleh ajaran agama yang betul?

Agama tidak salah, tetapi kitalah yang perlu terus merefleksi diri kita kerana tindakan yang terlahir tidak sama dengan apa yang kita tampilkan.

Agama Islam mengajarkan tentang akhlak dan keadilan serta tidak mengambil hak orang lain. Apabila keadilan tidak berlaku, akan ramai tidak puas hati lalu label melabel dan perpecahan berlaku.

Apa yang berlaku saat ini adalah design ALLAH, agar kita berhenti dan berfikir. Ia sepatutnya menjadi turning point kita membina will power dan way power secara bersama. Bukan terus saling menghentam dan membuat negara ini ranap.

REALITI DAN SOLUSI

Inilah waktunya untuk melihat cara lain dalam menyelesaikan masalah yang sedang kita hadapi. Kita perlu solusi daripada Tuhan. Negara ini adalah negara Islam, majoriti pemimpinnya adalah pemimpin Islam dan mereka harus mengambil pendekatan Islam dengan mengambil nilai, roh dan IOS daripada al-Quran dan as Sunnah.

When everything else fails, seek divine intervention.

Tuhan sudah berbicara melalui alam. Perubahan iklim dunia kepada sebuah norma baru langsung tidak kita jangkakan. Kita tidak akan mampu mengelak dari terpaksa berdepan dengan perubahan yang semua orang turut alami.

RASUAH: KOS BESAR MEMBAWA KERANAPAN NEGARA

Kita harus sedar bahawa rasuah mempunyai kos besar kepada negara, rasuah dibayar oleh rakyat. Pembangunan menjadi korban dan jalan rasuah menjadi wabak di pelbagai peringkat. Sekian banyak dasar dari Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan sebagainya, begitu banyak kementerian, agensi dan badan untuk membantu bumiputera sejak 1970, kenapa tak tercapai ekuiti 30 peratus dan mengapa masih wujud kemiskinan tegar?

Ketirisan. Ketirisan ini menggagalkan perancangan strategik di negara ini.

Kita perlu memperkukuh institusi sedia ada seperti SPRM dan Institut Integriti Malaysia (IIM) sebagai antara badan-badan yang berhak dihormati kerana menjulang nilai integriti demi menyelamatkan rakyat.

People’s Power in the jihad and POLITICAL WILL is critical.

Tekanan semakin meningkat. Dalam keadaan semua pihak bergelut untuk survive dengan hidup, rasuah menjadi jalan singkat untuk selesaikan masalah kewangan bagi sesetengah pihak. Dari peringkat rakyat bawahan hinggalah kepada kluster kayangan.

Kritikalnya keadaan ini apabila rasuah dari sudut salah guna kuasa atau wang berleluasa seperti ia satu budaya normal yang perlu ditelan oleh masyarakat demi survival hidup. Normalisasi rasuah memang SALAH! Kita tidak sedar secara subtle rasuah menghancurkan ekonomi negara, pelebaran jurang miskin dan kaya menggugat kestabilan sosioekonomi dan memberi gambaran yang amat buruk kepada para investor luar.

Bagaimana negara hendak maju?

Mengambil perkara yang tidak hak, tidak adil, mementingkan tenggorok masing-masing, itulah kezaliman yang berlaku dan merosakkan nilai bangsa Malaysia.

Penganiayaan yang berlaku akibat rasuah ini terlalu berat. Banyak contoh yang kita lihat, apabila ‘kabel-kabel’ dan rasuah menjadi alat untuk mendapat sesuatu projek atau tempat, kita secara tidak langsung menafikan mereka yang lebih layak untuk mendapat ruang dan peluang.

Lebih teruk lagi jika yang mendapat projek atau kedudukan itu, bukanlah sebenarnya yang layak.

Cepat atau lambat kerosakan pasti akan berlaku. Bangunan akan runtuh, syarikat akan bankrap, karyawan hilang mata pencarian, tekanan berlaku di mana-mana, kadar jenayah, bunuh diri dan sebagainya menjadi semakin tinggi. Tapi kita tak mahu melihat ripple effect ini kerana tamak mendahului. Kesan tidak adil itu bukannya kecil.

Sampai masanya untuk kita tanya kepada diri sendiri. Sehingga 63 tahun negara sudah merdeka, adakah keadaan semakin baik atau sebaliknya. Sejauh mana kejujuran telah kita pasakkan di dalam jiwa keluarga kita, ketelusan kepada organisasi kita, integriti di dalam jiwa para pemimpin kita? Kezaliman tersembunyi ini harus dihapuskan serta merta.

Penindasan secara langsung dan tidak langsung tidak boleh dianggap perkara biasa.

RASUAH LAMBANG KEGAGALAN

Kita harus akui bahawa pemimpin yang ada gagal menjalankan amanah rakyat apabila pertelagahan, pertukaran pucuk pimpinan terus berlaku. Pergolakan ini menjadikan rakyat amat muak dan keliru dan merugikan rakyat majoriti.

Solusi tidak bersifat people-centric. Segala yang dilakukan perlu ada ‘tol’ yang perlu dilunaskan. Kecanduan terhadap wang rasuah ini bukannya hanya berlaku di peringkat kolar putih tetapi merebak ke segenap lapisan masyarakat dan merebak ke pelbagai agensi walau badan agama!

‘Wang muka’ untuk projek sudah dinormalkan sehingga ia diterima sebagai investment dalam transaksi tender. Betapa kotornya budaya ini. Lebih parah apabila institusi dihormati dan badan-badan agama tidak mengira bangsa turut terpalit dengan penyakit ini sehingga mengakibatkan rakyat hilang kepercayaan terhadap agama itu sendiri.

Korupsi tidak boleh dikompromi. Ia merobohkan prinsip, menggugat keamanan dan mampu melenyapkan bangsa.

WAKTU UNTUK UNINSTALL – REFORMAT- RESET

Kita perlu menukar ekosistem untuk Restart – Reset – Refresh. Yang bagus boleh Reuse - Recycle. Yang tak guna boleh Discard- Disposed - Discomposed.

Moga kita lebih peka dengan jeritan hati rakyat dan beri perhatian. Belajar daripada kesilapan untuk tidak mengikut kehendak dan kepentingan puak masing-masing. Amalkan sikap tidak berat sebelah agar kumpulan majoriti dan yang ada potensi tidak terpinggir.

Semua rakyat terutamanya golongan muda adalah aset negara. Bina kekuatan diri dan rakyat serta pemimpin berkualiti yang mempunyai karakter, pegangan nilai dan moral yang baik.

Penghayatan untuk kembali menjiwai Rukun Negara amat penting kepada semua rakyat dan pemimpin; Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang, Kesopanan dan Kesusilaan.

Di atas semua ini, sebagai negara yang agama rasminya adalah agama Islam dan majoriti rakyatnya beragama Islam, maka al-Quran dan as Sunnah adalah dustur atau perlembagaan paling tinggi dalam kerajaan ini yang relevan nilai dan signifikan panduannya untuk semua rakyat dan pemimpin.

Sistem feudal yang meletakkan dominasi kepada golongan atasan dengan menindas golongan yang lain bukanlah sistem yang bertamadun yang boleh diterima.

Pembudayaan sistem inilah yang membawa kepada kezaliman turun temurun sehingga penganiayaan kepada suatu pihak seolah perkara biasa. Adakah salasilah tradisi sebegini yang kita ingin kekalkan dalam sistem dan perlembagaan di negara ini?

Kita memerlukan sebuah revolusi pemikiran yang ampuh agar dapat mencabut tradisi yang mencengkam dan menjatuhkannya.

Indonesia telah berjaya melakukannya kerana ia merupakan sebuah negara republik dan mereka mempunyai jaminan daripada pemimpin politik dan tentera untuk membenarkan kebebasan suara dan pemikiran.

Oleh demikian, suara rakyat dapat didengari. Mampukah Malaysia terutamanya Melayu melaķukannya?

Benar, ia telah menjadi sistem yang berakar umbi dan seolah-olah menjadi DNA kita tetapi apakah mungkin dalam hidup kita, kita memulakan sesuatu yang baru untuk generasi akan datang. Kita mampu menghalang rasuah daripada menjadi perkara salah yang terus membesar.

PERLUNYA STRUCTURAL CHANGE

Negara ini unik dengan kepelbagaian latar agama dan budaya. Ia menjadikan Malaysia ini penuh warna-warni. Ini memperluas ruang mencari pengalaman dan pengetahuan merentasi budaya.

Ekosistem yang telah dirobek dengan amalan jijik dan kotor ini perlu dibersihkan demi mengembalikan keharmonian sosiobudaya rakyat Malaysia. Generasi yang belum kenal apa itu najis rasuah perlu dididik betapa hinanya diri dan keluarga yang hidup hasil makan rasuah. Gabungan pemegang taruh (stakeholder) harus digembeleng.

Jihad moral Ini bukan teori, bukan retorik. Ia ikhtiar yang lahir daripada kesedaran bahawa negara ini perlukan rombakan secara total - total revamp. Jika benar-benar kita ingin selamatkan negara ini, seluruh struktur ekosistem mesti berubah. Kembali kepada dasar Rukun Negara.

Bagaikan sebuah bangunan, legislatif (legislative), badan kehakiman (judiciary), dan badan eksekutif (executive) harus bersama-sama menggerakkan peranan mengukuhkan negara ini dengan melakukan structural change.

Tampilkan barisan baru yang boleh dipercayai untuk membina kembali nilai integriti yang telah hilang. Sematkan kepercayaan bahawa muka-muka baru ini boleh mengambil alih negara ini dari sudut transformasi struktur ekonomi, politik dan perundangan.

Ahli-ahli politik dengan kuasa yang ada sewajarnya menjadi enabler dan bersungguh-sungguh menggunakan jentera dan sokongan yang ada untuk mengajak rakyat berubah menjadi lebih baik. Demi masa depan generasi yang akan kita tinggalkan.

Proses ini tentunya mengambil masa. Tetapi kita tak akan bergerak ke mana-mana jika kita tidak bermula. Kita boleh bermula dengan diri kita sendiri, pada daya, kapasiti dan kuasa yang ada di tangan kita.

Bangunan yang tersergam pasti akan runtuh bumbungnya jika dindingnya lemah dimakan anai-anai.

Demikianlah dinding yang indah tidak mampu melindungi jika bumbungnya bocor. Begitulah usaha ini harus dilaksanakan dengan kolaboratif semua pihak.

Tidak hanya dipertanggungjawabkan kepada pihak berkuasa, ibu bapa harus menerapkan kepada keluarga pendidikan tentang rasuah.

Guru-guru perlu ajarkan juga kepada murid-murid bahawa rasuah ini menjerumuskan diri kepada kebinasaan. Masjid-masjid dan rumah-rumah ibadah bongkar isu rasuah yang berleluasa dalam masyarakat dan beri kesedaran bahawa lawan rasuah adalah amanah. Ia perlu dipupuk dalam jiwa setiap manusia.

Penghayatan nilai itu yang perlu dititikberatkan dalam pendidikan agama misalnya agar integriti diangkat sebagai nilai yang penting dan rasuah itu adalah zalim. Sekiranya kita terus-terusan meremeh-temehkan perkara besar dan membesarkan perkara yang remeh-temeh, sampai bila-bila pun keadaan tidak akan berubah.

JIHAD MORAL, GERAKAN NILAI

Selama ini kita mungkin pernah cuba melakukan perubahan, tetapi secara terpisah-pisah. Kali ini kita bentuk gabungan, lawan rasuah habis-habisan. Tegakkan integriti dalam diri kita, keluarga dan seputar kita, walau siapa pun kita. Lakukan semampunya.

Gerakan ini tidak sedikit pun memberikan saya keuntungan kewangan, bahkan saya yakin ramai yang akan membantah kerana merasakan ia adalah usaha yang sia-sia. Boleh jadi akan ada nada yang berang. Tetapi sebagai hamba ALLAH, saya bertanggungjawab menyampaikan pada segala daya yang ada, mengajak kita semua melakukan transformasi demi anak bangsa dan negara yang kita cintai.

Bukan Covid-19 saja yang akan menggempur negara. Anak-anak kita mungkin berdepan dengan cabaran yang tidak mampu kita gambarkan ketika kita sudah tiada. Apakah sekurang-kurangnya yang mampu kita tinggalkan?

Negara ini mempunyai Rukun Negara yang cukup indah didahului dengan kepercayaan kepada Tuhan sebagai asas kemakmuran negara. Sewajarnya atas kegagalan demi kegagalan yang telah kita hadapi, masa untuk kita mencari intervensi ilahi sudah tiba.

Tidak sedikit rasuah mencemar kesucian agama Islam yang majoriti dianuti bangsa Melayu, sedangkan kita ada sebaik-baik hadiah daripada Tuhan. Panduan sehingga akhir zaman. Kalimah dan ayat yang sama menjanjikan kemenangan Nabi Musa a.s ke atas Firaun yang amat kejam. Mengapa tidak kita kembali kepada agama untuk membimbing diri kita dalam menghadapi kemelut rasuah ini?

Wajah Islam yang sebenar terlindung di sebalik baju oren yang disarungkan oleh penjenayah rasuah. Program-program keagamaan tidak putus-putus dijalankan di merata-rata tempat, tetapi mengapa masih gagal lagi apabila kuasa dan nafsu menguasai diri?

Tidak mungkin kitab yang menjadi panduan umat itu tersalah. Boleh jadi cara kita menyampaikan yang perlu distruktur semula. Boleh jadi undang-undang yang ada perlu dikemaskini, boleh jadi penguatkuasaan harus dipertingkatkan atau boleh jadi hati yang gelap kerana telah hilangnya harga diri.

Perlembagaan Persekutuan memberikan amanah agar agama Islam membimbing rakyat berbilang kaum dengan panduan-panduan berteraskan wahyu. Sejauh mana kita menghargai nilai yang dibawa oleh wahyu ini dan diadaptasi di dalam kehidupan kita?

Kita semua tahu bahawa pelbagai kaedah telah kita lakukan untuk memerangi najis rasuah sebelum ini. Kempen demi kempen, kursus demi kursus, tetapi keadaan tetap tidak menjadi semakin baik. Dalam keadaan ini, kita harus yakin untuk kembali kepada pengharapan iaitu intervensi ilahi, asuhan daripada wahyu. Hanya kekuatan spiritual dapat memandu kita merasakan kewujudan ALLAH SWT untuk mengelakkan rasuah daripada terus membarah.

Keratan Sinar Harian.
Keratan Sinar Harian.

Nilai al-Quran adalah nilai universal yang penuh kasih sayang, belas ihsan, menolak penindasan. Hukuman yang digariskan oleh al-Quran, semuanya adalah demi menjaga kemaslahatan ummah, daripada sudut agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Lalu mengapa kedudukan, harta dan wang ringgit yang menjadi sembahan kita?

APA HARUS KITA LAKUKAN?

Tidak dapat dinafikan bahawa amalan rasuah dan rendahnya nilai integriti ini adalah lagu nyanyian sejak berkurun lamanya. Yang terlibat dalam gejala ini juga tidak tertumpu pada sesuatu bangsa semata-mata. Ia memang sudah mengakar umbi di dalam sistem seolah-olah telah didoktrinasikan dalam DNA sistem birokrasi dunia.

Tapi adakah kita hanya berpeluk tubuh dan terus menerimanya? Memang benar sebuah revolusi minda harus dicetuskan untuk perubahan dilakukan dan ia hanya boleh dimulakan daripada KITA sendiri bukan orang lain. Hak dan kebebasan bersuara yang digariskan oleh perlembagaan sewajarnya dimanfaatkan demi kebajikan rakyat dan negara.

Akhbar dan media harus bersedia menggembleng ikhtiar agar tamadun bermoral dapat dibangunkan untuk menjayakan toleransi-sifar terhadap rasuah (zero-tolerance policy for corruption).

Namun kita perlu sentiasa ingat, keterbukaan kerajaan terhadap kebebasan menyuarakan pandangan ini harus dilakukan dengan jujur dan bertanggungjawab, bukan diisi dengan fitnah dan fakta yang belum dipastikan kesahihannya.

Ini gerakan nilai yang harga kejayaannya bukan wang ringgit atau pun kuasa. Kejayaan kita akan diukur dengan kemakmuran dan keadilan yang bakal subur di negara ini. Generasi akan datang bakal memacu pucuk pimpinan negara dengan jujur dan saksama. Generasi lama harus reda bahawa mereka sudah melakukan yang terbaik dan masanya untuk melepaskan generasi baru ke hadapan menerajui struktur baru negara ini.

Sebagai orang lama, hikmah dan nasihat harus tetap kita sampaikan, check and balance harus sentiasa berlangsung antara golongan lama dan baru, ibarat menyeimbangkan gula dan garam dalam masakan agar semuanya secukup rasa.

Transformasi negara ini harus terus berpijak kepada sistem demokrasi berparlimen, sistem Raja Berperlembagaan yang sentiasa harus kita hormati tetapi kita buka lembaran baru menjadikan gerakan nilai ini agenda keluarga dan organisasi yang membawa sinar untuk Malaysia.

Berpegang teguh kepada al-Quran dan pasakkan Rukun Negara dalam melakukan reformasi dan rekonsiliasi nasional.

Sistem feudal yang sekian lama dijulang, kononnya ia melindungi sedangkan ia melebarkan lagi jurang ketaksamaan dalam masyarakat dan sudah tidak relevan lagi pada zaman ini. Maka kita perlu kembali kepada sistem yang dibina atas sistem nilai yang diterajui oleh rakyat sendiri. Inilah gerakan rakyat untuk rakyat. Pupuk jiwa sukarelawan melaksanakan tugas sebagai #RasuahBusters menjadi mata dan telinga kepada rakyat.

Darurat yang sedang berlangsung adalah peluang besar untuk kita melihat kepada diri sendiri, bagaimana kita harus bangkit melawan kejatuhan nilai bangsa yang telah merumitkan lagi keadaan ekonomi, politik dan sosial negara.

Setiap lokaliti harus bergabung bersama di setiap peringkat komuniti, selami permasalahan yang dihadapi bersama-sama, amalkan sikap terbuka demi mencari penyelesaian, ketepikan sistem yang tidak berkesan.

Golongan teraniaya, mesti berani tampil bersuara. Gabungan ini adalah gerakan kebersamaan rakyat, pemimpin yang ingin melihat perubahan, para influencer, keyboard warriors, pendidik dan seluruh rakyat, jadikanlah gerakan ini perjuangan dan amal jariah anda. Bagi golongan yang tertindas suarakan dengan berani hak anda. Anda tidak bersendirian. Laporkan perlakuan rasuah tanpa rasa gentar.

HARAPAN DAN SERUAN

Saya ingin menyeru semua rakyat dan pemimpin untuk bersungguh-sungguh melakukan perubahan ini. Insya- ALLAH rakyat siap untuk bersama membina kembali negara Malaysia yang kita cintai ini.

Seruan untuk rakyat

>> Semua rakyat perlu memulakan gerakan gelombang reformasi #NilaiMoralKarakterBangsa ini secara aman dan tersusun. Ini gerakan reformasi moral dari rakyat untuk rakyat dan negara, bukan agenda politik dan tidak perlu retorik. Gerak kerja tidak perlu ropol, rancang strategi dan laksanakan! Tidak perlu sebarang majlis pelancaran.

>> Progres perlu dipantau, mengukur dan menilai hasil dan terus melakukan perubahan moral di setiap peringkat.

>> Rasuah dan salahguna kuasa ditentang semua agama dunia. Penganut setiap agama di Malaysia perlu bangkit melakukan Spiritual Reforms menentang barah yang semakin parah ini demi kesejahteraan negara. Namun, kerana ini sebuah negara Islam, Islam perlu menyerlah untuk memimpin ummah dengan nilai dan panduan dari al-Quran dan as Sunnah.

>> Membuat komitmen untuk bersama-sama menggerakkan nilai moral dan karakter mengikut lapangan, peranan dan tahap masing-masing sama ada di peringkat diri, keluarga, sekolah, komuniti, organisasi, NGO atau negara.

>> Orang yang berasa teraniaya harus berani bersuara dan mengetahui bahawa mereka tidak lagi bersendirian dan ini menjadi gerakan kuasa rakyat di dalam membawa gerakan nilai, moral yang akan membentuk karakter yang yang baik.

>> Jika kita tidak melakukan apa-apa tatkala kita sedang menuju kehancuran, apa yang akan kita jawab kepada anak cucu kita kelak? Gerakan ini perlu bermula sekarang walau ramai yang skeptikal. It’s now or never. Revolusi pemikiran, perubahan mindset dan heartset harus bermula secara ground swelling daripada rakyat sebagai akar yang mencengkam tanah, tumbuh menjulang dan menghancurkan parasit-parasit rasuah yang selama ini merosakkan buah-buah nilai dan kesuburan akhlak di dalam negara ini.

>> Jika segala signal yang ALLAH sampaikan kepada kita masih lagi kita abaikan, kita akan terus berdepan dengan musibah dan natijah perbuatan tangan-tangan kita sendiri.

Seruan untuk pemimpin

>> Lakukan gencatan politik dan total revamp parti masing-masing. Buat semua yang mempunyai isu. Kepada yang ada rekod moral yang tercalar, berundurlah sebelum terlambat.

>> Reformasi perlu berlaku dalam semua parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Structural change and reform harus berlaku dalam tempoh proklamasi darurat ini dan saya kira perlu dilakukan dalam tempoh enam bulan hingga setahun ini selepas ini.

>> Semua perlu balik kepada agama, moral dan nilai agama. Jika pemimpin semua parti politik JUJUR berjuang untuk masa depan rakyat, AKUI bahawa polisi anda selama ini telah gagal buat bangsa Malaysia bersatu untuk cemerlang.

>> Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anggota Kabinetnya diizinkan oleh ALLAH SWT untuk terus berada ditampuk kuasa pada saat ini. Keizinan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong menjadi tanggungjawab besar kepada semua pemimpin di dalam tempoh moratorium kuasa ini untuk membetulkan keadaan bagi menjaga kepentingan rakyat dan negara. Wakil-wakil rakyat perlu reboot Malaysia yang sejahtera melalui gabungan semua pihak termasuk rakyat. Jika ada penyelewengan terhadap mandat yang diberikan, ia menjadi satu pengkhianatan kepada agama, bangsa dan negara yang pasti dipertanggungjawabkan di Padang Mahsyar nanti.

>> Perdana Menteri dan Raja-raja perlu menggunakan waktu darurat ini untuk memudahkan reformasi moral ini berlaku di semua peringkat. Bina landasan yang betul, hanya parti politik yang sudah diSUCIkan boleh bertanding di PRU15.

>> Semua kena telus, pembersihan harus berlaku di semua peringkat kerajaan dan GLCs. Kalau tak buat, jawablah nanti. Kabinet, orang politik, mereka perlu tahu bahawa merekalah enabler kepada kehancuran yang berlaku ini.

>> Guna tempoh bertenang (darurat) ini untuk revisit polisi serta naratif juga tindakan serta tingkah laku dan kenyataan-kenyataan, barisan kepimpinan parti masing-masing selama 50 tahun kebelakangan ini. Tadbir urus terutamanya orang Melayu sebagai majoriti harus kita akui, gagal!

>> Kita perlu revisit cara kita beragama dan pengurusan roh dan hati kita. Dengan betulkan orang Melayu, politik, Insya-ALLAH saya percaya 80 peratus keadaan akan lebih baik.

>> Berilah laluan kepada pemimpin BARU untuk pimpin parti masing-masing. Kini adalah masa untuk semua pihak MOVE ON. Rakyat bukan retorik kali ini, rakyat ingin melihat perubahan berlaku sungguh-sungguh. Kaji balik dengan JUJUR kesan kerosakan yang terbuah daripada semua tindak tanduk dan dasar anda dan parti anda.

>> Anda pasti tidak boleh tipu diri anda sendiri atau Tuhan anda. Jangan biarkan kerosakan ini jadi kehancuran. Jangan selfish! Fikirkan masa depan anak cucu kita yang akan mewarisi negara Malaysia ini.

RUMUSAN: TINDAKAN SEGERA

Kepimpinan berteraskan nilai bukan semata-mata sistem. Ia adalah pra-syarat atau kriteria penting dalam rukun kepimpinan. Tidak boleh tidak ada. Hakikat di hadapan kita. Korupsi sudah menjadi budaya.

Dan budaya diteladankan dari atas menuju ke akar umbi. Merubah sistem bukan gerak kerja secara in silo. Pemisahan kuasa (separation of powers) adalah sebahagian daripada reformasi sistem itu sendiri.

Kepimpinan perlu jelas bahawa pemisahan ini adalah penting untuk memperjelaskan fungsi setiap badan agar kezaliman tidak berlaku dan kebebasan hak dan keadilan dapat dijamin. Reformasi struktur ini akan memperteguh semak dan imbang yang seharusnya berlaku dengan lebih telus lagi.

Dunia digital sekarang mendesak pemimpin untuk bergerak selari dengan teknologi yang begitu pantas. Ledakan arus teknologi menjadikan golongan lama sudah semakin tidak relevan dan di sinilah kita harus memberi peluang kepada generasi baru yang berkebolehan mengadaptasi perubahan ini menerajui kepimpinan negara dengan nilai-nilai yang belum lagi tercemar.

Melakukan reset dan reformasi terhadap sistem tentunya mengambil masa. Namun, sementara sistem tersebut dibina, kita bangunkan dan baiki sistem demokrasi yang terpimpin secara telus dan menyiapkan segala prasarana agar korupsi tidak berpeluang masuk sebagai wabak yang nantinya tidak mampu lagi dikawal. Dalam erti kata lain lantai dasar atau mekanisme penghalang (defence mechanism) yang dibina secara organik harus disediakan terlebih dahulu.

Inklusiviti teknologi juga harus menjadi sebahagian agenda dalam pembinaan struktur sistem di samping pengurusan risiko tidak diketepikan oleh semua pihak.

Melakukan perubahan demi perubahan di peringkat mikro dan makro dengan zero tolerance terhadap rasuah pasti akan mengecilkan ruang beza yang telah lama dicipta oleh rakyat. Pengecilan jurang itulah yang kita harapkan dapat menembus segenap dimensi kepelbagaian latar belakang hingga terbentuknya rekonsiliasi nasional yang terbina atas teras NILAI, AKHLAK dan KARAKTER BANGSA yang negara kita impikan.

Rasuah boleh memusnahkan bangsa dan negara.
Rasuah boleh memusnahkan bangsa dan negara.

Kesemua pihak perlu segera mengajak lingkaran masing-masing menyedari dan menyokong bahawa hanya nilai dan pegangan agama yang dibangunkan melalui jiwa akan nantinya menjadi benteng paling kukuh ketika berdepan godaan rasuah dan maksiat.

Proses internalisasi nilai dan jati diri yang dibina di dalam keluarga, organisasi dan kepimpinan inilah yang akan menjadi stamina kita untuk menyelamatkan negara dan menjamin keadilan kepada seluruh rakyat.

Akhir sekali, saya ingin tekankan a call for action untuk kita segera bergabung, membentuk sekretariat dan melaksanakan peranan masing-masing mengikut platform yang kita ada untuk sebuah jihad nilai menggempur rasuah.

Hentikan pertikaian di Whatsapp atau media sosial dan fokus membina legasi Malaysia yang lebih baik untuk anak cucu kita. Rakyat yang akan memilih pemimpin, maka daripada rakyatlah harus bermulanya pembangunan karakter itu sendiri.

Bukan sekadar ekonomi yang akan memulihkan negara kita ini tetapi nilai serta moral yang mengutamakan keihsanan dan keinsananlah yang akan menjadi batu asas untuk menghidupkan denyutan nadi kemakmuran negara Malaysia yang kita cintai.

Sekian, terima kasih.



Hussamuddin Hj Yaacub

Shah Alam,

Jumaat, 29 Januari 2021