KPM bakal tambah slot program TV Pendidikan

Kementerian Pendidikan Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bakal menambah slot program TV Pendidikan dalam program DidikTV di saluran NTV7 pada Rabu sebagai usaha menambah baik pendekatan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

KPM menerusi kenyataan pada Selasa berkata, slot berkenaan akan memberi fokus kepada kandungan pendidikan bagi membantu calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 membuat persediaan sebelum menghadapi peperiksaan yang akan bermula pada 22 Februari tahun ini.

“Slot tambahan ini melibatkan dua jam pada Isnin hingga Jumaat bermula dari jam 3 petang hingga 5 petang di saluran NTV7.

“KPM juga telah menambah lima jam waktu siaran di saluran yang sama pada hari Sabtu dan Ahad bermula dari jam 9 pagi hingga jam 12 tengah hari dan jam 3 petang hingga 5 petang,” katanya.

Mengulas lanjut, KPM menjelaskan penambahan slot tersebut menjadikan keseluruhan waktu siaran TV Pendidikan sebanyak 11 jam setiap hari yang disiarkan melalui saluran TV Okey, Astro Tutor TV dan DidikTV.

“Jadual rancangan boleh didapati dengan melayari portal rasmi KPM di www.moe.gov.my atau di media sosial rasmi KPM iaitu Facebook, Instagram dan Twitter @KemPendidikan.

“KPM yakin Program TV Pendidikan yang disediakan ini dapat dimanfaatkan oleh murid, guru dan ibu bapa sebagai salah satu kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang berkesan,” katanya.

Terdahulu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mencadangkan agar saluran TV Pendidikan tampil dengan kandungan yang lebih segar bagi memenuhi keperluan masa kini.

Artikel Berkaitan:

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata cadangan ini wajar disegerakan memandangkan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mempunyai pelbagai sumber video pengajaran daripada portal sedia ada seperti EduwebTV dan Cikgootube, yang mana hanya perlu dipilih dan disusun untuk siaran di peringkat televisyen awam.

“Ini akan memberi manfaat kepada 37 peratus murid atau sebanyak 1.7 juta murid yang tidak mempunyai peranti digital seperti laptop, tablet atau komputer bagi pembelajaran dalam talian, yang diistilahkan sebagai ‘miskin digital’ khususnya di Sabah dan Sarawak,” katanya.