Keistimewaan pendidikan, PH perlu berhenti berdalih

Suraya Yaacob
Suraya Yaacob
A
A
A

PENDANG - Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang tidak menyalurkan secara terus peruntukan 2019 sebanyak RM12 juta kepada Kementerian Pendidikan (KPM) menimbulkan pelbagai persoalan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Malaysia, Datuk Suraya Yaacob berkata, persoalan timbul apabila peruntukkan berkenaan tidak diberikan terus kepada KPM.

"Timbul pelbagai persoalan, adakah MOF tidak percaya pada kredibiliti dan mengambil alih tugas KPM.

"Dan mengapa pula perlu MOF menggunakan wang rakyat untuk SMP Cina (swasta) sedangkan masih banyak lagi sekolah di bawah seliaan KPM terutama di kawasan luar bandar seperti di Sabah dan Sarawak yang terlalu daif serta lebih memerlukan peruntukan kewangan," katanya.

Sebelum ini, pada 6 Januari lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Ni Ching telah mengumumkan peruntukan itu akan diserahkan oleh Lim Guan Eng di Kolej New Era iaitu sebuah lagi institusi pendidikan persendirian Cina.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dalam kenyataannya baru-baru ini turut mengesahkan pengumuman timbalannya itu.

Menurut Suraya yang juga Ketua Penerangan Umno Kedah, tindakan ini adalah jelas bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan, Perkara 153 (2) berhubung keistimewaan pendidikan yang sepatutnya mengutamakan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera.

"Adalah tepat dakwaan rakyat bahawa pendekatan Kerajaan PH lebih cenderung bersifat perkauman dengan menjulang kepentingan institusi pendidikan Cina termasuk berstatus swasta berbanding Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di bawah KPM yang lebih berkonsepkan perpaduan anak bangsa," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Suraya juga menyeru kepada Kerajaan PH supaya menghormati serta mengembalikan hak keistimewaan pendidikan orang Melayu dan Bumiputera.

"Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada SK dan SMK yang lebih memerlukan peruntukkan dalam menambah baik infrastruktur serta pembangunan khususnya di kawasan luar bandar.

"Berhentilah berdolak-dalih dengan permainan retorik politik 24 jam dan dengarlah sama suara rakyat yang semakin bosan dengan huru-hara pemerintahan PH," katanya.