Kerajaan perlu teliti semula had operasi kedai makan

FAHMI
FAHMI
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta untuk meneliti semula ketetapan waktu operasi kedai makan yang ketika ini hanya dibenarkan dibuka sehingga jam 8 malam di kawasan yang terlibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, beliau menerima banyak aduan daripada masyarakat dan peniaga kedai makan terutama bagi mereka yang jualannya bergantung pada waktu malam.

“Di kawasan saya, pelbagai aduan telah diberikan oleh pengusaha kedai makan yang mengatakan waktu tutup kedai makan jam 8 malam ini tidak munasabah.

“Contohnya saya ada terima aduan daripada penjual burger di Kampung Kerinchi, Pantai Dalam, mereka mengadu biasanya menjual burger sebelah malam. Jadi bila dilarang maka hilang punca pendapatan dan ini meninggalkan kesan yang agak besar.

“Ada juga mereka yang balik kerja tetapi kedai makan sudah tutup. Tiada tempat lagi mereka hendak membeli makanan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, tinjauan yang dilakukan di media sosial seperti di Instagram dan Twitter mendapati bahawa rata-rata netizen bersetuju sekiranya Prosedur Operasi Standard (SOP) dilonggarkan agar waktu operasi kedai makan dilanjutkan sehingga jam 10 malam.

“Dengan syarat tidak ada makan di premis, hanya untuk beli dan bawa pulang serta dengan pematuhan SOP yang lain,” katanya.

Menurutnya, langkah tersebut bukanlah mustahil untuk dilaksanakan dengan mengambil kira beberapa tindakan terbaharu daripada kerajaan dalam melakukan perubahan terhadap SOP sedia ada.

Artikel Berkaitan:

“Saya lihat ada keperluan pihak kerajaan meneliti perkara ini. Kalau kita lihat sebelum ini hanya sesetengah kedai dobi dibenarkan kemudian SOP diubah untuk membolehkan kedai dobi layan diri dibuka sekali.

“Taman Awam sebelum ini tidak boleh tetapi hari ini (Jumaat) Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa kata boleh. Maka, saya pinta kerajaan pertimbangkan semula dan benarkan kedai makan beroperasi setidak-tidaknya sehingga jam 10 malam,” katanya.

Selain itu, Fahmi juga meminta supaya kedai runcit dibenarkan dibuka sehingga 10 malam untuk memudahkan masyarakat terutama mereka yang bekerja lewat bagi mendapatkan perkhidmatan daripada kedai tersebut.