Minta Ahmad Zahid berehat: Jangan keruhkan lagi keadaan, kata Rizam

Ahmad Zahid - Foto fail Bernama
Ahmad Zahid - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Mohd Helmi Buang diminta lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang hanya mencetuskan masalah dalaman parti.

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Rizam Ismail berkata, kenyataan Mohd Helmi yang meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berehat daripada memimpin parti hanya mengeruhkan lagi keadaan dalaman parti itu.

Malah, tegas beliau, dalam keadaan politik tidak stabil dan ekonomi yang tidak menentu ini bukan masanya untuk ahli UMNO berpecah belah dan berantakan sesama sendiri.

"Sebaliknya, kita sebagai pemimpin di bahagian perlu tunjuk contoh yang baik kepada akar umbi.

"Sebagai pemimpin yang matang kita perlu meminta ahli-ahli parti merapatkan saf dan bersatu padu di belakang pemimpin utama kita iaitu Presiden UMNO," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Rizam
Rizam

Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar berkata, dalam UMNO, presiden merupakan institusi tertinggi di dalam parti yang perlu dipertahankan.

"Jangan kita merobek lagi luka yang sudah terpahat. Ada baiknya jika kita memfokuskan kekuatan kita dengan membantu rakyat yang kini sengsara dengan pelbagai masalah ekonomi akibat Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menegaskan, UMNO mempunyai disiplin parti yang perlu diikuti oleh ahlinya.

Katanya, sebagai ahli UMNO yang mendokong perlembagaan parti perlulah jadikan pemilihan UMNO sebagai medan memilih pemimpin.

"Bukannya dengan mendesak meletakkan jawatan atau berehat jika kepentingan kita tidak dituruti," katanya.

Mohd Helmi sebelum ini meminta Ahmad Zahid berehat daripada memimpin parti itu dengan rasa hormat.

Beliau berkata, pendekatan pemimpin mesti ada perubahan yang ketara mengikut arus zaman.