X

Kindly register in order to view this article
!

Pilihan raya boleh diadakan ketika darurat: Aziz Bari

Abdul Aziz ketika sesi Facebook Live membincangkan tentang proklamasi darurat yang diumumkan kerajaan.
A
A

IPOH - Proklamasi darurat tidak boleh dijadikan alasan untuk menangguhkan pilihan raya kerana beberapa siri pilihan raya di negara ini pernah dilaksanakan ketika darurat.

Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari berkata, jika diimbau Pilihan Raya Umum (PRU) pertama negara pada tahun 1955 diadakan sewaktu darurat apabila tempoh darurat yang diisytiharkan itu antara tahun 1948 sehingga 1960.

Menurutnya, begitu juga PRU kedua yang turut diadakan ketika darurat pada tahun 1959 dan ini membuktikan bahawa darurat bukan halangan untuk diadakan pilihan raya.

"Darurat secara teknikal iaitu Perkara 150 memberikan kuasa yang luas untuk kerajaan melakukan perkara tanpa ke Parlimen ataupun kerajaan boleh buat undang-undang tanpa ke Parlimen atau Parlimen boleh buat undang-undang atas perkara-perkara yang tidak boleh dibuat dalam keadaan biasa. Itu darurat sebenarnya.

"Darurat bukan untuk menggantung pilihan raya. Saya tak pasti kenapa sekarang menjadi satu kefahaman yang begitu. Rakyat Malaysia jangan lupa sejarah. Bukan hujah yang kuat darurat ini untuk menidakkan pilihan raya. Jangan ingat darurat ini boleh menutup segala-galanya," katanya menerusi sesi Facebook Live pada Selasa.

Sementara itu, Abdul Aziz berpandangan bahawa Yang di-Pertuan Agong perlu menimbangkan semula keputusan proklamasi darurat kerana dibimbangi memberi kesan lebih buruk kepada negara.

Menurutnya, baginda perlu melihat keabsahan kerajaan yang ada dan meminta penjelasan daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sama ada masih memiliki majoriti atau sebaliknya.

Beliau berkata, proklamasi darurat itu akan memberikan kuasa mutlak tanpa batasan kepada kerajaan yang gagal membuktikan keabsahannya untuk membuat undang-undang tanpa perlu dibentangkan di Parlimen.

Jelasnya, sewaktu darurat juga tiada unsur semak dan imbang apabila kerajaan boleh melakukan apa sahaja yang dimahukan tambahan pula proklamasi darurat itu tidak boleh dicabar di mahkamah.

"Apa yang menjadi masalah kepada darurat ialah kerajaan boleh langgar sekatan-sekatan yang ada di dalam Perlembagaan. Itu sebenarnya yang kita risau darurat ini, bukan soal kuasa tentera, soal ketenteraman awam, bukan itu.

"Ini bukan biasa. Dari segi undang-undang, darurat bukan perkara biasa. Yang menjadi masalah, kuasa itu menjadi kuasa terlalu luas dan mutlak, tiada batasan.Kita tak boleh nak menyekat sesuatu. Perkara-perkara ini boleh dilakukan secara dekri sahaja oleh kerajaan yang memerintah," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi.

Sementara itu, ketika menjawab soalan pelayar, Abdul Aziz menjelaskan proklamasi darurat tidak boleh dicabar di dalam mana-mana mahkamah kerana perkara itu telah termaktub di dalam Perlembagaan.

Katanya, penyelesaian kepada darurat ini hanyalah di bawah Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa untuk menarik balik pengisytiharan berkenaan.

"Kita doa supaya Yang di-Pertuan Agong tarik balik pengisytiharan darurat. Baru boleh balik kepada keadaan asal. Kalau tidak, kuasa itu meluas sehingga boleh menggantung Perlembagaan.

"Mungkin rakyat boleh hantar petisyen meminta raja-raja mencari penyelesaian. Saya rasa akhirnya nanti raja-raja ini yang akan membuat keputusan. Raja-raja harus ke depan ketika negara kita terjebak dalam suasana yang tidak menentu seperti ini," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!